Sila log masuk terlebih dahulu.

'Sedar-sedar mak dah tiada'

Keadaan di rumah mangsa yang menyebabkan mangsa maut dalam kejadian pada Selasa. (Gambar kecil: Muhammad Khairi Ramadan Mohd Haris, Saaniah Naim)
Keadaan di rumah mangsa yang menyebabkan mangsa maut dalam kejadian pada Selasa. (Gambar kecil: Muhammad Khairi Ramadan Mohd Haris, Saaniah Naim)
A
A
A

BERA - "Sedar-sedar mak dah tiada selepas puas dipanggil tiada maklum balas," kata Muhammad Khairi Ramadan Mohd Haris, 22 selepas ibunya, Siti Zuliana Said, 52, maut dipercayai dijerut dengan kabel pengecas telefon dalam kejadian samun di Felda Mengkuang di sini pada Selasa.

Anak bongsu daripada lima beradik itu memberitahu langsung tidak menyedari kejadian yang berlaku terhadap ibunya.

Menurutnya, dia dan ibunya sempat ke masjid bersama-sama menunaikan solat Subuh tetapi pulang ke rumah bersendirian kerana ibunya mahu mengaji di masjid tersebut.

"Saya memang tak sedar apa-apa sebab lepas balik dari masjid saya rehat dalam bilik.

"Saya sedar bila ayah panggil saya beritahu dia sakit kepala dan paip air dalam bilik air bocor.

"Saya masuk bilik mak saya untuk ambil peralatan untuk baiki paip, tapi saya tengok keadaan mak saya terbaring sahaja. Saya panggil dia tapi tiada maklum balas," katanya lagi.

Ujarnya, ketika kejadian, ayahnya Mohd Haris Ibrahim, 60 berada di ruang tamu sebelum secara tiba-tiba didatangi suspek dari belakang lalu mencekik ayahnya sebelum dihentak dengan objek keras di bahagian belakang kepala.

"Ayah pengsan sekejap, selepas itu dia panggil saya. Mungkin masa itu, ayah belum sedar dengan apa yang berlaku pada mak," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, jiran mangsa, Saaniah Naim, 57, terkejut dan terkilan dengan kejadian yang menimpa mangsa.

Menurutnya, mangsa sempat singgah di gerai miliknya membeli nasi lemak dan kuih-muih selepas pulang berjalan kaki dari masjid.

"Katanya dia rindu nak makan nasi lemak saya. Ralat betul rasanya sebab tak sampai tiga jam jumpa dengan arwah, saya dimaklumkan arwah dah tiada.

"Arwah juga sempat minta maaf kerana akan menunaikan umrah pada Disember depan," ujarnya lagi.

Jelasnya, kejadian yang menimpa mangsa hanya diketahui selepas dimaklumkan oleh anaknya yang kebetulan hendak memotong rumput di rumah mangsa.