KPDNHEP siasat isu seludup minyak masak subsidi

Azman (dua dari kiri) menunjukkan minyak masak bersubsidi ketika pemantauan di sebuah kilang di Beris Kubor Besar, Bachok pada Selasa.
Azman (dua dari kiri) menunjukkan minyak masak bersubsidi ketika pemantauan di sebuah kilang di Beris Kubor Besar, Bachok pada Selasa.
A
A
A
KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini sedang menumpukan perhatian kepada isu ketirisan minyak masak bersubsidi membabitkan pihak tertentu.

Pengarah Penguat Kuasa, Azman Adam berkata, penyeludupan berlaku kerana terdapat permintaan yang tinggi selain ada pihak cuba mengambil keuntungan.

Beliau memberitahu, KPDNHEP juga sedang berusaha melaksanakan naziran dan auditan bagi memastikan tiada peluang penyeludupan bahan mentah itu.

"Kita sudah memberi amaran akan mengambil tindakan yang lebih tegas dengan membatalkan lesen, menggantung lesen dan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan di kilang pembungkus minyak masak di Kawasan Perindustrian Gelang Buluh, Beris Kubur Besar, Bachok pada Selasa.

Menurut Azman, kementerian itu juga serius menangani masalah berkenaan dengan melaksanakan operasi di sempadan bersama agensi lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain rangkaian serta sistem berkaitan minyak masak bersubsidi dapat melaksanakan naziran.

Tambah beliau, sehingga kini terdapat 22 pengilang minyak masak dan 305 kilang pembungkus berlesen di seluruh negara.

"Kita juga ada lebih 4,151 syarikat pemborong selain lebih 30,000 peruncit," katanya.

Berkaitan isu minyak masak yang dijual di Thailand, Azman memaklumkan kementerian itu kini sedang menyiasat perkara berkenaan.

"Kita dimaklumkan permintaan dan harga pasaran minyak masak subsidi Malaysia di negara itu sangat tinggi. Tidak adil jika peruntukan sebanyak lebih RM4 bilion di negara ini dinikmati oleh negara lain," katanya.