Koguru untung RM5 juta

Alias (kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada ahli yang hadir mesyuarat kawasan Koguru.
Alias (kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada ahli yang hadir mesyuarat kawasan Koguru.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Koperasi Warga Pendidikan Terengganu Berhad (Koguru) dijangka memperoleh keuntungan bersih melebihi RM5 juta bagi kewangan tahun 2018.

Pengerusi Kehormat Koguru, Alias Yahya berkata, jumlah itu meningkat berbanding RM4.6 juta keuntungan yang dicatatkan koperasi itu bagi tahun kewangan 2017.

Dengan perkembangan itu menurutnya, Koguru dijangka membayar dividen sebanyak 16 peratus iaitu 10 peratus atas syer dan 6 peratus atas yuran kepada hampir 13,000 ahlinya bermula 1 Ogos nanti.

“Bagaimanapun, kita turut rasa bimbang di mana prestasi pembiayaan koperasi kebelakangan ini agak menurun sedikit di mana pelbagai usaha perlu dilakukan.

“Antara usaha itu adalah Koguru perlu melakukan penjenamaan semula peranan dan fungsi koperasi agar ianya lebih bersifat universal dan tidak terlalu bergantung kepada aktiviti pembiayaan semata-mata.

“Banyak produk-produk baru sedang dikaji dan akan diterokai bagi mengatasi masalah tersebut agar kecemerlangan koperasi boleh terus dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Dalam pada itu, Alias turut memaklumkan pihaknya merancang mengadakan mesyuarat di 10 kawasan Koguru bermula daerah Kuala Terengganu dan berakhir di Dungun pada 13 April nanti untuk berjumpa ahli koperasi seluruh daerah.

Beliau berkata, dianggarkan 75 peratus ahli Koguru akan hadir bagi menjayakan mesyuarat kawasan pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap semua ahli dapat mengambil peluang hadir bagi mendengar taklimat secara langsung berkaitan perkembangan semasa koperasi.

“Sekiranya anggota terlepas untuk hadir bagi sesuatu kawasan, mereka boleh hadir bagi kawasan berikutnya dan elaun kehadiran akan dibayar kepada semua anggota yang datang dalam mesyuarat tersebut,” katanya.

Alias turut menyeru agar lebih ramai lagi guru-guru dan kakitangan menyertai Koguru melalui permohonan secara atas talian bagi mendapat manfaat.

“Bagi menjaga kebajikan anggota yang semakin meningkat, kebanyakan urusan koperasi boleh dilakukan di atas talian antaranya permohonan anggota baharu, permohonan pembiayaan, kemudahan kebajikan, pembelian insurans kenderaan, daftar umrah, korban dan aqiqah dan sebagainya,” katanya.