Jihad perangi orang tengah idea kurang bijak: Boon Chye

Dr Lee Boon Chye
Dr Lee Boon Chye
A
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menyifatkan idea Jihad Memerangi Orang Tengah yang dicanang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai kurang bijak.

Pengerusinya, Dr Lee Boon Chye berkata, perkhidmatan seperti pengangkutan dan pengedaran yang disediakan oleh orang tengah semakin penting dalam pertumbuhan ekonomi.

Jelasnya, agak sukar untuk petani melaksanakan kesemua peringkat dari penanaman sehingga pemasaran tanpa peranan orang tengah.

"Bayangkan seorang petani yang menanam pisang tidak mahu orang tengah. Dia kemudiannya perlu menanam pisang, menuai, membungkus, mengangkut dan menjual pisang itu sendiri di pasaran. Selepas dia menjual pisang, dia pergi menanam semula dan mengulangi kitaran. Satu-satunya jaminan untuknya ialah kemiskinan selamanya.

"Seorang petani sepatutnya lebih fokus dalam melakukan apa yang dia terbaik, iaitu menanam pisang. Dengan menghasilkan lebih banyak pisang, dia boleh menjana lebih banyak wang dengan membenarkan orang tengah berurusan dengan pengangkutan, pengedaran dan runcit," katanya kepada dalam satu kenyataan menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Dr Boon Chye berkata, bagi mengelak sebarang eksploitasi, kerajaan perlu memastikan ketelusan di dalam pasaran dan akses orang tengah terhadap petani.

Jelasnya, orang tengah boleh mengaut keuntungan disebabkan masalah infrastruktur atau kawal selia serta kurangnya ketelusan dalam pasaran.

"Peranan kerajaan bukan jihad menentang orang tengah tetapi membuat dasar atau pelaburan untuk meningkatkan kecekapan pasaran seperti naik taraf jalan luar bandar, internet untuk akses data, membantu petani dalam automasi dan menanam pisang yang lebih baik.

"Ia sekaligus boleh membenarkan petani dan orang tengah dan semua orang dalam rantaian bekalan menjana lebih banyak wang walaupun pada harga runcit pisang yang lebih rendah," katanya.

Pada 2 Julai lalu, Ismail Sabri menggesa seluruh gerakan koperasi melalui Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) meneruskan semula 'Jihad Memerangi Orang Tengah' dalam memperkasakan agenda sekuriti makanan negara.

Gesaan itu dibuat kerana yakin bahawa koperasi boleh memainkan peranan dalam agenda tersebut disebabkan mempunyai ahli yang ramai, selain penglibatan mereka dalam pelbagai bidang termasuk peruncitan, pemborongan dan sebagainya.

‘Jihad Memerangi Orang Tengah’ telah diperkenalkan oleh Ismail Sabri pada tahun 2014 ketika menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.