Sila log masuk terlebih dahulu.

Harga siling ayam memadai untuk penternak

Ahmad meninjau barangan yang dijual pada program JTDLKM di Ibu Pejabat FAMA pada Jumaat.
Ahmad meninjau barangan yang dijual pada program JTDLKM di Ibu Pejabat FAMA pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penetapan harga siling ayam standard RM9.40 bagi satu kilogram (kg) berkuat kuasa bulan ini dilihat memadai kepada penternak meskipun terdapat desakan agar harga berkenaan dinaikkan melebihi RM10 bagi satu kg.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, harga baharu itu dimuktamadkan selepas melalui proses libat urus dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk golongan berkenaan.

“Memang wajar dan memadai (harga siling baharu) kerana kita sudah adakan perbincangan serta libat urus dengan penternak dari semasa ke semasa di samping mengetahui masalah yang dihadapi golongan berkenaan akibat cuaca dan faktor geopolitik.

“Kerajaan sentiasa adakan perbincangan dengan golongan penternak untuk mengetahui masalah yang dihadapi, kita faham bukan mereka sahaja hadapi masalah, tetapi kita nak jaga kebajikan pengguna.

“Harga (siling) ini tidak termasuk subsidi ditanggung oleh kerajaan yang diberikan kepada penternak sebanyak RM1.20. Kerajaan terpaksa menanggung RM369 juta dan bermula pada 1 Julai sehingga 31 Ogos ini, harga siling ayam standard kekal pada tahap RM9.40 bagi satu kg,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Khas Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) di Ibu Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada Jumaat.

Ahmad (dua dari kiri) menunjukkan barangan jualan pada program JTDLKM di Ibu Pejabat FAMA pada Jumaat.
Ahmad (dua dari kiri) menunjukkan barangan jualan pada program JTDLKM di Ibu Pejabat FAMA pada Jumaat.

Mengulas mengenai JTDLKM, Ahmad berkata, inisiatif yang diadakan oleh FAMA dengan kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pertubuhan Peladang Malaysia (NAFAS) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) itu bertujuan memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan harga barangan keperluan secara berpatutan.

Menerusi program ini katanya, pengguna menikmati penjimatan antara lima hingga 10 peratus daripada harga pasaran setempat bagi beberapa produk terpilih.

Artikel Berkaitan:

“Pemasaran hasil pertanian secar terus kepada pengguna merupakan inisatif kerajaan bagi mengurangkan kebergantugan pengeluar kepada orang tengah.

”Program ini akan diadakan sebanyak 800 kali di seluruh negara dan setakat Jun lalu, 190 program telah berlangsung dengan nilai jualan terkumpul sebanyak RM2.06 juta. Angka tersebut dijangka meningkat seterusnya mencapai nilai sasaran RM10.5 juta,” katanya.

Ahmad (dua dari kanan) ketika melancarkan program JTDLKM di Ibu Pejabat FAMA pada Jumaat.
Ahmad (dua dari kanan) ketika melancarkan program JTDLKM di Ibu Pejabat FAMA pada Jumaat.

Dalam pada itu Ahmad turut menjelaskan, JTDLKM merupakan antara usaha yang dibuat kementerian berkenaan sebelum penganjuran Ekspo Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) yang bakal berlangsung pada 4 hingga 14 Ogos ini di MAEPS Serdang.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan hasil jualan pada MAHA 2022 melebihi RM250 juta dengan kunjungan seramai 100,000 orang setiap hari,” katanya.