Suhakam: CSO Platform for Reform tuntut maklumat terbuka

Kenyataan media CSO Platform for Reform pada Ahad.
Kenyataan media CSO Platform for Reform pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - CSO Platform for Reform menuntut maklumat terbuka daripada kerajaan berhubung proses pemilihan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Jawatankuasa Pemandu CSO Platform for Reform dalam satu kenyataan berkata, ia bertujuan memastikan pelantikan pesuruhjaya Suhakam itu dibuat memenuhi kriteria latar belakang dan kepakaran jawatan berkenaan.

“Perkara ini termasuk menitikberatkan calon yang terbukti mempunyai rekod kepakaran dalam bidang yang berkaitan contohnya, pengalaman kerja, penerbitan dan pencapaian lain berkaitan dengan isu serrta masalah hak asasi manusia.

“Pemilihan yang melibatkan senarai yang pelbagai dan inklusif dari aspek kepakaran serta perwakilan, bukan hanya individu yang mempunyai latar belakang undang-undang.

“Kami menuntut jawapan ini daripada kerajaan terutamanya Perdana Menteri dan Menteri serta semua penasihat khasnya,” kata kenyataan tersebut pada Ahad.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan memaklumkan pelantikan pakar perundangan dan hak asasi manusia Universiti Teknologi Mara, Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad sebagai Pengerusi Suhakam bersama tujuh lagi anggota baharu Suhakam bagi sesi 2022-2025 yang berkuat kuasa pada 22 Jun lalu telah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata, turut dilantik Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Dr Chew Chee Ming (Sarawak), Datuk Mary@Mariati Robert (Sabah), Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican, Nazira Abdul Rahim dan K Ragunath.

Mengulas lanjut, jawatankuasa terbabit berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mempunyai mekanisme bebas untuk pelantikan pesuruhjaya Suhakam yang merangkumi Parlimen dan individu bebas yang boleh menambahkan keyakinan rakyat.

“Kami mengesyorkan bahawa Jawatankuasa Pilihan Parlimen memainkan peranan penting dalam memulakan mekanisme yang lebih bertanggungjawab dan mengamalkan modal amalan terbaik seperti Indonesia di mana proses mereka adalah ketat dengan banyak penglibatan penelitian awam,” ujar kenyataan tersebut.

Tambahnya, Suhakam sebagai satu badan bebas yang memegang tanggungjawab hak asasi manusia di negara ini tidak boleh di kompromi walau apa jua kos yang bakal ditanggung oleh kerajaan.

“Sebelum ini, pesuruhjaya mempertahankan akreditasi status Suhakam dengan baik dan kami khuatir ia akan terkesan oleh kumpulan pesuruhjaya lemah yang dilantik.

“Kami memohon untuk elakkan kemunduran dan menambahkan keaiban dalam rekod hak asasi manusia yang penuh cabaran di Malaysia dan peringkat global.

“Kita tidak mampu berdiri dengan bangga dalam Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sambil berhadapan dengan situasi politik domestik yang lemah sehingga menjejaskan hak asasi manusia di Malaysia,” jelasnya.