'Setuju cadangan bina galeri Mat Kilau tapi...'

Mohd Alhamadi menunjukan gambar Mat Kilau di Galeri Mat Kilau di SK Padang Garuda.
Mohd Alhamadi menunjukan gambar Mat Kilau di Galeri Mat Kilau di SK Padang Garuda.
A
A
A

KUANTAN - Pewaris Mat Kilau bersetuju cadangan sebuah galeri tokoh pahlawan itu diwujudkan di daerah ini sebagai tempat rujukan pencipta sejarah Mat Kilau yang menjadi kebanggaan rakyat Pahang.

Cucu Mat Kilau, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 56, berkata, pembukaan galeri itu perlu dibina di tapak lain bukannya di tanah pusaka milik Mat Kilau.

"Kalau di tanah persendirian (tanah Mat Kilau) saya tidak setuju kerana itu adalah tanah pusaka. Buatlah galeri di tempat lain contohnya berdekatan Menara Kuantan atau muzium seni yang bersebelahan pejabat agama Islam negeri.

"Patern rumah Mat Kilau seingat saya ia hanya sebuah pondok buruk sahaja, ramai yang salah faham itu adalah rumah ayah saya. Apabila pondok buruk itu hendak roboh dan Mat Kilau sakit, tokoh pahlawan itu di bawa ke rumah mak saya.

"Pada ketika itu rumah mak saya dengan rumah Mat Kilau lebih kurang 10 meter sahaja yang terletak di Batu Lima, Jalan Gambang dan tiada bentuk rumah Mat Kilau sebenarnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli mencadangkan kerajaan Pahang dan syarikat Produksi Studio Kembara membangunkan semula rumah peninggalan tokoh pahlawan Mat Kilau di Pulau Tawar, Jerantut dan Batu Lima Jalan Gambang, di sini.

Katanya, pembinaan semula kediaman Mat Kilau di dua lokasi itu dilihat sebagai usaha untuk menjadikan produk pelancongan yang mempunyai nilai sejarah kepada negara ini.

Mohd Shukri mencadangkan bangunkan semula rumah Mat Kilau sebagai tarikan pelancongan.
Mohd Shukri mencadangkan bangunkan semula rumah Mat Kilau sebagai tarikan pelancongan.

Mohd Alhamadi yang merupakan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garuda berkata, kerjasama akan diberikan sekiranya mana-mana pihak berhasrat untuk membina galeri Mat Kilau.

Beliau juga akan berkongsi segala maklumat berkaitan dengan Mat Kilau untuk di pamerkan kepada khalayak.

Ditanya mengenai galeri Mat Kilau yang dibuka sejak enam tahun lalu di SK Padang Garuda, beliau memaklumkan galeri terbabit menyimpan lebih 80 gambar yang memaparkan sebahagian cerita Mat Kilau ketika hayatnya bersama keluarga, rakan seperjuangan dan masyarakat setempat.

Jelasnya, terdapat beberapa bilah keris, busana Melayu, tanjak dan senjata Melayu turut dipamerkan bagi memberi lebih keceriaan kepada pengunjung yang datang melawat.

"Kita menerima pelawat daripada dalam dan luar Pahang yang datang untuk melihat sendiri galeri Mat Kilau yang dibangunkan dengan kerjasama guru SK Padang Garuda.

"Lukisan Mat Kilau juga terdapat pada dinding sekolah yang menjadi sebahagian daripada galeri Mat Kilau," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau tidak dapat memberi jaminan bahawa galeri Mat Kilau akan terus berkekalan di sekolah itu.

"Saya tidak pasti ia kekal atau tidak sebab apabila saya sudah pencen dan bertukar guru besar kemungkinan galeri ini akan terabai. Jadi, perlu ada satu galeri diwujudkan di Kuantan," ujarnya.