'Jadi rujukan anak cucu, tiada unsur tahayul,' - Cucu Mat Kilau

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.Gambar kecil: Mohd Alhamadi
Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.Gambar kecil: Mohd Alhamadi
A
A
A

KUANTAN - Filem kepahlawanan Melayu, Mat Kilau boleh dibuat kajian secara teliti untuk dijadikan bahan rujukan pada hari kemudian.

Cucu Mat Kilau, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 56, berkata, filem itu yang kini sedang dalam tayangan di pawagam seluruh negara, boleh membangkitkan semula semangat Melayu Islam dan sistem beraja di tanah air ini.

Beliau menyifatkan filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof merupakan satu perkembangan baik dalam industri filem kita.

“Filem ini mengetengahkan atau mengangkat semula filem sejarah, ketokohan pahlawan Melayu kita dalam menentang Inggeris dan menyemarakkan jati diri Melayu Islam.

"Karya sebegini kalau boleh buat satu kajian yang teliti dan mendalam kerana ia akan menjadi satu bahan rujukan. Kalau ceritanya tidak betul, anak cucu cicit kita dalam tempoh akan datang akan memegang fakta tidak betul," katanya ketika ditemui di galeri Mat Kilau di Sekolah Kebangsaan Padang Garuda di sini pada Rabu.

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mula ditayangkan di pawagam sejak 23 Jun lalu di bawah terbitan Studio Kembara itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhan, Johan As'ari dan ramai lagi.

Beliau bersetuju dengan jalan cerita filem itu yang tidak menonjolkan unsur-unsur tahyul dan kurafat yang boleh mengaibkan tokoh pahlawan tersebut.

"Saya lihat dalam media massa (bukan filem) banyak menulis perkara pelik arwah aki ( Mat Kilau) yang mana, Mat Kilau boleh ghaib dan kebal.

"Penulisan sebegini seolah-olah hendak mendongengkan atau 'mengkartunkan' satu nama yang besar bangsa Melayu, dan perbuatan ini akhirnya akan merugikan kita sebenarnya," katanya.

Menjawab mengenai ada golongan yang mengaku mereka pewaris Mat Kilau, Mohd Alhamadi meminta menunjukkan jalur salasilah tokoh kepahlawanan itu.

Beliau mengetahui salasiah Mat Kilau kerana ibunya, Jaleha menjaga tokoh pahlawan itu lebih 30 tahun.

"Jika ada golongan yang mengaku mereka adalah cucu cicit Mat Kilau saya mohon supaya diperiksa dengan lebih teliti, kadang kala ia mungkin salasilah Tok Gajah dan Tok Sarum iaitu ayah kepada Tok Gajah.

"Bila mereka mengaku tanpa ada bukti ia menimbulkan kekeliruan di dalam masyarakat," ujarnya.