Logo rasmi baharu Visit Malaysia 2020 diumum Mei: Mohamaddin

Mohamaddin Ketapi (tengah) meluangkan masa menyertai larian sejauh satu kilometer sempena Program Larian Ulat Buku U-Pustaka 2019 di Dataran Merdeka hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Logo rasmi baharu bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 akan diumumkan Mei depan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata logo berkenaan akan diumumkan sebaik pemenang bagi pertandingan mencipta logo kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang bermula 11 Mac lepas diputuskan.

"(Logo) Pemenang tempat pertama daripada keseluruhan 586 penyertaan yang diterima bagi pertandingan itu nanti akan terpilih menjadi logo rasmi Visit Malaysia 2020 yang baharu," katanya selepas menyempurnakan program Larian Ulat Buku u-Pustaka 2019 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Mohamaddin berkata kriteria utama logo yang menjadi fokus pemilihan ialah rekaan yang melambangkan seni budaya masyarakat negara ini dan menonjolkan kepelbagaian produk-produk ekopelancongan yang menarik di Malaysia.

Penyertaan bagi pertandingan tersebut yang berakhir pada 24 Mac lepas bertujuan menggalakkan rakyat menyertai kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 dengan menyumbang idea kreatif mereka serta menambah baik logo sedia ada.

Logo sedia ada khusus mempromosikan Malaysia itu yang dilancarkan bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di Chiang Mai, Thailand sempena ASEAN Tourism pada awal tahun lalu menerima respons negatif pelbagai pihak.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Datuk Nafisah Ahmad berkata Larian Ulat Buku u-pustaka merupakan alternatif pihaknya bagi memberi pendedahan dan kesedaran secara meluas kepada orang ramai terhadap perkhidmatan u-pustaka.

“Program ini juga bertujuan meningkatkan budaya membaca dan gaya hidup sihat serta mempererat semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“U-pustaka ini adalah platform digital library (perpustakaan dalam talian) yang menggabungkan koleksi fizikal dan digital...larian ini merupakan antara pengisian program Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Dunia 2020,” katanya.

Program anjuran PNM dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sempena ulang tahun kelapan u-Pustaka disertai hampir 4,000 orang peserta daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa termasuk peserta dari luar negara. - Bernama