[VIDEO] 'Kenaikan harga barang tak sepatutnya jadi masalah besar'

Nik Muhammad (dua, kiri) melihat benih padi yang telah diproses ketika melakukan lawatan di Pusat Pengeluaran Benih Padi Pertubuhan Peladang Kawasan Lahar Bubu pada Jumaat. - Foto Bernama
Nik Muhammad (dua, kiri) melihat benih padi yang telah diproses ketika melakukan lawatan di Pusat Pengeluaran Benih Padi Pertubuhan Peladang Kawasan Lahar Bubu pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS - Kerajaan akan terus mengambil pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) menangani kenaikan kos.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, selain memberi subsidi, kerajaan turut menghulurkan bantuan tunai terus kepada golongan sasar.

"Kerajaan telah memberikan rakyat bantuan kewangan secara langsung untuk membantu mereka mengatasi kenaikan kos barangan keperluan.

"Oleh demikian, kenaikan harga barang tidak sepatutnya menjadi masalah besar kepada mereka (pengguna). Berbanding dengan rakyat dari negara lain, mereka di sana lebih teruk keadaannya daripada kita.

"Dalam kes kita, kerajaan kita masih mempunyai keupayaan untuk membantu rakyat dan kita akan terus mencari jalan untuk membantu rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pengeluaran Benih Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lahar Bubu di sini pada Jumaat.

Nik Muhammad Zawawi berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula harga siling ayam standard yang ditetapkan ketika ini pada RM9.40 sekilogram.

Pada Khamis, Persatuan Pengguna Pulau Pinang berkata, harga siling ayam standard yang ditetapkan kerajaan dengan harga RM9.40 dilihat sangat tinggi untuk golongan B40.

Pegawai pendidikannya, NV Subbarow berkata, harga tersebut akan membebankan golongan tersebut berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu pada ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan semula harga tersebut bagi meringankan beban pembeli terutamanya golongan B40.

Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara di rantau ini yang memperuntukkan sejumlah besar wang untuk memberi subsidi bagi membantu rakyat.

"Kami masih memberi subsidi untuk ayam dan telur yang mana, untuk kos sara hidup yang semakin meningkat, kerajaan menyediakan bantuan tunai.

"Oleh itu, apabila kita bercakap mengenai kenaikan harga ayam dan telur, kita kena sebut juga tentang subsidi yang diberikan oleh kerajaan," katanya.

Tambahnya, tidak ada satu negara di dunia yang mampu menghalang kenaikan kos barangan yang turut berlaku di seluruh dunia.

Sebelum ini, Mesyuarat Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia mulai Jumaat ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata Jemaah Menteri turut bersetuju untuk menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 0.45 sen sebiji bagi gred A, Gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji).