[VIDEO] Harga siling ayam standard RM9.40 sekilo

Harga siling ayam standard ditetapkan pada kadar RM9.40 per kilogram di Semenanjung Malaysia. Foto hiasan
Harga siling ayam standard ditetapkan pada kadar RM9.40 per kilogram di Semenanjung Malaysia. Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Harga siling ayam standard ditetapkan pada kadar RM9.40 per kilogram di Semenanjung Malaysia.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, keputusan itu dibuat oleh jemaah menteri yang bermesyuarat pada Rabu.

"Mesyuarat juga bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 45 sen sebiji bagi gred A, gred B (43 sen) dan gred C (41 sen) di Semenanjung Malaysia.

"Penetapan harga siling bagi ayam standard dan telur tersebut berkuat kuasa Jumaat ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Buat masa sekarang, harga siling ayam standard (diproses dan dijual dengan kepala, kaki dan organ) ditetapkan pada RM8.90 sekilogram manakala harga maksimum bagi ayam super adalah RM9.90 sekilogram.

Sementara, harga siling bagi telur, gred A, B dan C, yang telah ditetapkan masing-masing pada 43 sen, 41 sen dan 39 sen sebiji.

Bagaimanapun harga tersebut akan berakhir pada Khamis.

Ronald berkata, keputusan penetapan harga siling yang baharu itu telah mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri baru-baru ini melalui inisiatif bantuan tunai termasuk bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40.

"Seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,600 tahun ini," katanya.

Menurutnya, bantuan tersebut adalah tertinggi yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan.

"Dengan pelaksanaan subsidi ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari lalu," katanya.

Tambahnya, isu kenaikan harga barang tidak berlaku di Malaysia sahaja, sebaliknya ia merupakan fenomena global ekoran gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dan perubahan iklim.

"Kerajaan sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup," katanya.