TI-M gesa kerajaan dedah hasil siasatan kebocoran data

Muhammad Mohan
Muhammad Mohan
A
A
A

SHAH ALAM - Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan supaya mendedahkan hasil penyiasatan polis mengenai kebocoran data peribadi rakyat Malaysia kepada umum.

Presidennya, Muhammad Mohan berkata, pendedahan hasil siasatan itu penting bagi membolehkan rakyat mengetahui langkah dan tindakan yang diambil kerajaan dalam melindungi data peribadi mereka daripada disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab pada masa akan datang.

Malah katanya, rakyat juga mahu ‘dalang’ yang terlibat dalam jenayah itu didedahkan kerana ia merupakan isu yang sangat serius.

“Pada 13 Jun 2022, portal Soyacincau berkongsi berita mengenai laman sesawang OpenSource Intelligence Tool (OSINT) yang kononnya menjual data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan MySejahtera secara dalam talian.

“Pengguna yang melaporkan OSINT ke pihak media memaklumkan bahawa data tersebut tersedia untuk pembelian serendah RM6.63 dan menawarkan pilihan kepada pemegang saham untuk menghapus butiran mereka dari pangkalan data untuk sekian harga.

“Bagaimanapun, kerajaan seakan tidak mempunyai jawapan untuk isu yang penting ini, namun mereka tetap perlu bertanggungjawab kepada rakyat atas kegagalan melindungi data kami ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, pertengahan Mei lalu juga media turut melaporkan terdapat pangkalan data yang ditawarkan untuk dijual mengandungi set data milik JPN merangkumi data rakyat Malaysia yang lahir antara tahun 1940 hingga 2004 dengan harga permintaan sebanyak AS$10,000.

Pada ketika itu menurutnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyatakan bahawa set data itu bukan dari pangkalan data JPN.

Katanya, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut memaklumkan bahawa kebocoran data tidak akan dapat mempengaruhi keselamatan negara kerana kementeriannya mempunyai sistem untuk mencegahnya daripada berlaku.

“Awal bulan ini, kita menerima laporan media pakar keselamatan siber mendedahkan data peribadi pekerja yang terlibat dalam pendaftaran Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Antara fail yang dijumpai ialah lampiran yang sepatutnya diserahkan oleh syarikat kepada MITI melalui sistem PIKAS.

"Lampiran yang dimaksudkan mempunyai nama, nombor kad pengenalan, identiti pekerja, umur, jantina dan nombor telefon kakitangan syarikat tersebut,” katanya.

Beliau berkata, insiden-insiden ini bukanlah isu yang baru, malah media sering kali melaporkan berita mengenai kebocoran data, risiko perlindungan data peribadi.

"Kita menuntut jawapan daripada kerajaan tentang bagaimana data awam diuruskan.

“Ironinya tuntutan kita untuk ketelusan dibalas dengan kerahsiaan dan tanda tanya, sedangkan data peribadi kita jelas tersedia secara telus untuk dipilih (oleh pihak tidak bertanggungjawab),” katanya.