Laman web didakwa bocor data peribadi rakyat Malaysia

Tangkap layar ciapan @Rad1112 di Twitter pada Ahad. Gambar kecil: Syahredzan Johan
Tangkap layar ciapan @Rad1112 di Twitter pada Ahad. Gambar kecil: Syahredzan Johan
A
A
A

SHAH ALAM - Pengguna akaun Twitter dikenali sebagai ‘@Rad1112’ mendakwa terdapat alat Open Source Intelligence (OSINT) yang boleh mengakses data peribadi rakyat Malaysia hanya melalui nama, nombor kad pengenalan dan tarikh lahir mereka.

Menerusi ciapan di Twitter pada Ahad, katanya, alat yang kini boleh didapati dalam ‘clearnet’ atau rangkaian internet terbuka itu boleh mengesahkan data peribadi individu termasuk maklumat sama ada dia bekerja dengan polis atau tentera.

Pengguna itu mengakui telah mencuba sendiri laman web tersebut dan carian itu hanya memerlukannya untuk memasukkan nama dan tahun lahir individu tertentu.

"Terdapat alat OSINT sudah keluar dalam 'clearnet' yang menggunakan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang bocor.

“Apa yang anda perlukan hanyalah nama seseorang dan mungkin tahun lahir, kemudian anda boleh mengesahkan bahawa mereka bekerja untuk polis dan/atau tentera Malaysia. Pertahanan negara kita baru sahaja diganggu,” katanya.

Pengguna itu juga mendakwa bahawa maklumat yang dimasukkan dalam aplikasi MySejahtera juga boleh diperoleh menggunakan alat berkenaan tetapi perlu bayar untuk mendapatkan maklumat tersebut.

Justeru, sebagai langkah keselamatan, dia mencadangkan agar orang ramai tidak mendedahkan identiti diri seperti nama sebenar, tarikh lahir, negeri kelahiran dan nombor plat lesen dalam media sosial.

“Rakyat tidak boleh berhenti daripada terus memperjuangkan usaha ke arah keselamatan siber negara yang lebih baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu turut mendapat perhatian Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan yang menggesa agar pihak berkuasa memandang serius akan pendedahan tersebut.

“Saya menyemak laman web berkenaan, walaupun data terperinci memerlukan pendaftaran dan pembayaran (yang saya tidak mahu lakukan), data peribadi nampaknya ada di sana.

“Sebagai contoh, anda hanya perlu mencari nama seseorang dan nombor IC (disunting) ada di sana. Ia sangat membimbangkan.

“Pihak berkuasa wajib memandang serius perkara ini. Jelas sekali terdapat kebocoran data sebelum ini kerana maklumat ini sudah pun dibuka,” katanya di Twitter.