[VIDEO] Mi celup RM2, air 50 sen

Zuraini nekad menjual mi celup dengan harga RM2 semangkuk dan air 50 sen segelas di saat harga bahan mentah naik mencanak ketika ini.
Zuraini nekad menjual mi celup dengan harga RM2 semangkuk dan air 50 sen segelas di saat harga bahan mentah naik mencanak ketika ini.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang peniaga di Kedai Lama Rantau Panjang di sini nekad untuk menjual mi celup dengan harga RM2 semangkuk dan air 50 sen segelas di saat harga bahan mentah naik mencanak ketika ini.

Zuraini Abdul Samad, 52, berkata, walaupun berdepan risiko pertambahan kos, dia mahu menukarkannya kepada bentuk sedekah bagi membolehkan golongan kurang berkemampuan merasai hidangan itu.

"Awalnya ramai yang tidak percaya saya mampu menjual makanan serta minuman tersebut dengan harga sedemikian dalam keadaan sekarang.

"Bukan tidak mahu untung, tetapi niat saya mahu membantu meringankan beban orang ramai yang sudah terbeban dengan kenaikan harga ayam, sayur, minyak dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mi celup yang dijual dengan harga RM2 semangkuk dilengkapi dengan isi ayam, bebola daging, sayur kangkung, tauge dan hirisan limau nipis.
Mi celup yang dijual dengan harga RM2 semangkuk dilengkapi dengan isi ayam, bebola daging, sayur kangkung, tauge dan hirisan limau nipis.

Menurutnya, mi celup yang dijual dengan harga RM2 semangkuk itu dilengkapi dengan isi ayam, bebola daging, sayur kangkung, tauge dan hirisan limau nipis.

Katanya, manakala air sirap dan teh o ais pula dijual dengan harga 50 sen segelas.

Ibu kepada empat anak itu berkata, harga murah tersebut hanya ditawarkan pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu.

Zuraini berkata, bagi hari-hari lain, mi celup dijual dengan harga biasa iaitu RM3 hingga RM6 semangkuk mengikut lauk yang diminta oleh pelanggan seperti tambahan telur, perut lembu dan lain-lain.

Orang ramai menikmati hidangan mi celup di Kedai Lama Rantau Panjang.
Orang ramai menikmati hidangan mi celup di Kedai Lama Rantau Panjang.

"Alhamdulillah, seronok bila tengok pelanggan datang bersama ahli keluarga menjamu selera.

"Kebanyakan penduduk di sini bekerja sendiri, jadi dengan harga yang ditawarkan mereka dapat berjimat untuk keperluan lain," katanya.

Menurutnya, kedai yang beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam itu dibantu oleh tiga anaknya serta dua pembantu.