Semakan tarif air: Perlu segerakan imbangi kos operasi

Suraya (dua dari kiri) ketika meninjau kemajuan projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Jenun Baru di daerah Pendang, baru-baru ini.
Suraya (dua dari kiri) ketika meninjau kemajuan projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Jenun Baru di daerah Pendang, baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Semakan dan pelarasan kadar baharu tarif air perlu disegerakan dan merupakan keperluan bagi membolehkan operator bekalan air dapat memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada pengguna.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, ini kerana kadar tarif air sedia ada tidak lagi dapat mengimbangi kenaikan kos operasi yang semakin meningkat setiap tahun.

Menurutnya, kali terakhir pelarasan kadar tarif air dilakukan di Kedah adalah pada 1 Oktober 2010, dan sudah tiba masanya ia diperhalusi semula bagi kepentingan semua pihak terlibat.

“Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah menerima cadangan semakan semula dan pelarasan tarif yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerana Kedah merupakan salah sebuah negeri yang mengenakan kadar tarif air yang rendah, yang mana kadar tarif itu sudah tidak relevan dengan kos operasi syarikat yang semakin meningkat saban tahun,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Suraya berkata, kadar tarif air di negeri ini sudah melebihi 12 tahun tanpa sebarang semakan dan pelarasan kadar menyebabkan ia antara kekangan utama untuk SADA memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada pengguna.

“Sejak 2010 tidak dibuat sebarang pelarasan kadar tarif, sedangkan kos operasi (OPEX) meningkat dari tahun ke tahun dan ini menyebabkan SADA perlu menanggung peningkatan kos bagi menyediakan bekalan air terawat kepada pengguna setiap tahun,” katanya.

Soraya berkata, sehubungan itu pihaknya percaya semakan dan pelarasan kadar tarif amat perlu dilakukan segera bagi membolehkan operator air seperti SADA mampu memberikan perkhidmatan lebih berkualiti selain meneruskan pembangunan infrastruktur bekalan air yang lebih mampan kepada pengguna untuk dinikmati bersama.

“Kadar tarif air di Kedah bagi purata penggunaan domestik ialah RM0.87 bagi meter padu (m3), manakala untuk komersial dan industri pada RM1.74/m3.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya berlaku kenaikan tarif air, kita akan pastikan ia tidak akan membebankan pengguna. Bagaimanapun, proses tersebut masih di peringkat perbincangan kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.

Pada 12 Jun, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memaklumkan proses perbincangan bagi semakan semula tarif air bersama operator-operator di peringkat negeri berada di peringkat akhir sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman jelaskan, proses berkenaan dilakukan bagi mencari keputusan menang-menang kepada pihak operator serta pengguna di negeri masing-masing. Ini kerana semakan semula tarif air menjadi tuntutan operator di seluruh negara memandangkan permintaan bekalan air dan kos pengoperasian semakin meningkat.

Ia susulan kenyataan Menteri KASA, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada tahun lepas yang mengumumkan, pihaknya sedang membangunkan Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) Air yang lebih adil dan telus untuk seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Jelasnya, di bawah mekanisme itu, tarif akan disemak dan menyaksikan ada pengguna perlu membayar kadar lebih tinggi, manakala mereka yang menggunakan jumlah air sedikit dan kumpulan B40 dikenakan kadar lebih rendah atau percuma.