Kes tipu: RM59.6 juta kerugian di Selangor sejak Januari

Arjunaidi melancarkan Kempen Anti Scam dalam majlis pelancaran di Hotel Concorde, Shah Alam pada Rabu.
Arjunaidi melancarkan Kempen Anti Scam dalam majlis pelancaran di Hotel Concorde, Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak RM59.6 juta kerugian melibatkan penipuan jenayah komersial dicatatkan di Selangor berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh Januari hingga Jun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, sebanyak 1,354 kes jenayah komersial melibatkan penipuan dalam talian manakala 428 kes penipuan secara bersemuka telah dilaporkan dan disiasat sepanjang tempoh tersebut.

"75 peratus kes melibatkan penipuan dalam talian dengan jumlah kerugian berjumlah RM59.2 juta dan jenis penipuan paling kerap dilaporkan adalah Macau Scam yang ada kes yang melibatkan kerugian jutaan ringgit.

"Dalam tempoh tersebut, seramai 1,700 individu telah ditahan di mana kebanyakannya adalah berperanan sebagai keldai," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Anti Scam PDRM peringkat Kontinjen Selangor di Hotel Concorde di sini pada Rabu.

Arjunaidi ketika bercakap pada sidang media Majlis Pelancaran Kempen Anti Scam IPK Selangor.
Arjunaidi ketika bercakap pada sidang media Majlis Pelancaran Kempen Anti Scam IPK Selangor.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam dan Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner, Mohd Iqbal Ibrahim.

Beliau berkata, sebanyak 392 papan tanda elektronik di seluruh Selangor akan memainkan klip video berkaitan Kempen Anti Scam selama sebulan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Mengulas lanjut Arjunaidi berkata, setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dan bekerjasama dalam memberi kesedaran kepada orang ramai berkenaan penjenayah dalam talian ini.

"Kajian PDRM mendapati orang ramai yang menjadi mangsa 'scammer' ini sebab kurang kesedaran berkenaan modus operandi dan taktik digunakan scammer terbabit.

"Polis Selangor menyedari bahawa masyarakat memiliki kesedaran tentang modus operandi scammer merupakan cara terbaik mencegah jenayah dalam talian daripada terus berlaku," katanya.

Beliau memberitahu, pihak polis turut menghadapi kesukaran untuk mendakwa dalang sindiket penipuan dalam talian terbabit di mahkamah kerana undang-undang sedia ada yang tidak selari dengan perkembangan teknologi semasa.

Katanya, jika masalah penipuan dalam talian ini tidak dibendung, ianya bukan sahaja memberi kesan kepada individu malah memberi impak negatif terhadap ekonomi negara berikutan jutaan ringgit aliran keluar wang hasil penipuan terbabit ke luar negara.

"Kita perlu membuat pindaan atau menggubal undang-undang yang lebih sesuai dengan perkembangan semasa sebab undang-undang kita tidak merangkumi jenayah dalam talian dan menyukarkan siasatan," tegasnya.