Nechytaylo main peranan penting dalam siasatan tragedi MH17

Pada 17 Julai 2014, MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di wilayah Donetsk di Ukraine. Gambar kecil: Olexander Nechytaylo - Foto Bernama
Pada 17 Julai 2014, MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di wilayah Donetsk di Ukraine. Gambar kecil: Olexander Nechytaylo - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Duta Ukraine, Olexander Nechytaylo yang telah menamatkan tempoh tugasnya di Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan saluran komunikasi kekal terbuka antara kedua-dua pihak susulan insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh dan konflik Rusia-Ukraine.

Ketika mengucapkan selamat tinggal kepada negara tuan rumah selepas berbakti selama sedekad, Nechytaylo mengingati dengan jelas mengenai satu misi terawalnya di Malaysia iaitu memastikan keadilan diberikan kepada waris, keluarga dan saudara mara mangsa tragedi pesawat MH17.

Pada 17 Julai 2014, pesawat malang itu - dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur - ditembak jatuh di wilayah Donetsk di Ukraine.

Duta itu juga memainkan peranan penting dalam penubuhan pasukan penyiasat bersama antara Ukraine, Malaysia, Belanda, Australia dan Belgium bagi menyiasat tragedi MH17 pada 2014.

"Apabila saya tiba di Kuala Lumpur, siasatan MH17 baharu sahaja bermula dan saya gembira perbicaraan di Hague (prosiding mahkamah yang meneliti jenayah terhadap tragedi MH17) kini di peringkat akhir.

"Saya bertemu keluarga mangsa di Malaysia dan saya turut berasa sedih.

Menjadi tanggungjawab moral untuk memberi keadilan kepada ahli keluarga mangsa nahas," katanya kepada petugas media selepas mengadakan jamuan minum petang perpisahan di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Diplomat itu berkata keputusan perbicaraan itu dijangka dikeluarkan sama ada pada akhir tahun atau awal tahun depan, dengan harapan ia akan membantu memberi keadilan kepada semua 298 mangsa yang terkorban, termasuk 15 anak kapal.

Sementara itu, krisis Rusia-Ukraine yang masih berterusan juga memberi cabaran tersendiri bagi Nechytaylo, di mana beliau perlu memastikan komunikasi yang betul dikekalkan antara Malaysia dan Ukraine ketika operasi ketenteraan semakin memuncak.

Diplomat itu berkata, sejak krisis bermula pada 24 Februari, misinya sebagai duta adalah untuk menyampaikan perkembangan di Ukraine kepada pemimpin Malaysia seperti Menteri Luar, dan kepada orang ramai dan media.

Mengulas lanjut, Nechytaylo berkongsi peristiwa yang tidak dapat dilupakan ketika berada di Malaysia iaitu apabila bekas Presiden Ukraine Petro Poroshenko berkunjung ke Malaysia untuk lawatan rasmi tiga hari, pada 2016.

Petro, dalam sesi temu bual eksklusif dengan Bernama sempena lawatan ke Malaysia ketika itu, menekankan bahawa beliau mengambil beberapa langkah penting selepas tragedi itu, termasuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia, Belanda, dan semua negara yang terlibat dengan tragedi MH17.

Mengenai tragedi MH17, Petro, yang berkhidmat sebagai Presiden Ukraine dari 2014 hingga 2019, berkata beliau diuji dengan apa yang disifatkan sebagai 'jenayah kemanusiaan terbesar dalam lipatan sejarah penerbangan moden.'

Secara peribadi, Nechytaylo, merupakan peminat setia band Malaysia Alleycats dan bintang rock lagenda Malaysia Amy Search, berkata antara pencapaian pentingnya ketika berkhidmat di Malaysia adalah menggandakan jumlah perdagangan antara Malaysia dan Ukraine daripada US$260 juta setiap tahun kepada US$450 juta setahun pada 202I.

Diplomat itu telah melawat setiap pelusuk negeri dan wilayah persekutuan di Malaysia dan telah memainkan peranan penting dalam pembukaan pejabat konsular Ukraine di Pulau Pinang pada 2020.

"Saya menghabiskan empat tahun di sini semasa tugasan pertama saya dengan kedutaan dan berada di sini selama enam tahun lagi sebagai duta.

Malaysia akan sentiasa mendapat tempat yang istimewa di hati saya," katanya sebelum pulang ke negara asalnya pada Selasa.

Nechytaylo turut menzahirkan ucapan berterima kasih kepada Malaysia kerana menyokong dua resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan konflik itu, termasuk mengundi dan menyokong Sidang Khas Kecemasan (ESS) Ke-11 Perhimpunan Agung PBB yang menerima pakai resolusi bertajuk 'Aggression against Ukraine' pada 3 Mac serta menyokong tuntutan perlindungan awam dan akses kemanusiaan di Ukraine pada 24 Mac.

"Dalam hal ini, saya rasa Malaysia telah memberi sokongan yang tinggi.

Rusia jelas melanggar piagam undang-undang antarabangsa PBB, jadi Malaysia sentiasa lantang melindungi undang-undang antarabangsa dan di situlah titik persamaan antara negara kita, daripada segi pendirian terhadap krisis ini, " katanya. - Bernama