Tumbesaran terbantut: Isu harga susu formula tinggi fokus KKM

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
A
A
A

PUTRAJAYA - Harga susu formula dan sumber protein yang tinggi dan membebankan antara tumpuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengatasi masalah bantut di kalangan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Jawatankuasa Khas memerangi masalah beban berganda malpemakanan dalam kalangan kanak-Kanak turut meneliti faktor pemakanan, persekitaran dan kemudahan yang dikatakan mendorong peningkatan kadar bantut yang tinggi.

"Semua isu berkaitan dengan nutrisi dan pemakanan akan ditangani oleh jawatankuasa ini termasuklah penyediaan makanan, akses kepada makanan yang mencukupi, harga makanan daripada sumber protein serta susu adalah mampu milik," katanya.

Menurutnya, harga kepada makanan daripada sumber protein yang tinggi akan menyukarkan usaha memerangi masalah tersebut.

"Kita faham senang untuk kerajaan minta ibu bapa beli susu dan makanan sihat tetapi pokok pangkal adalah harga yang tidak menentu," katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan program #AnakMalaysiaSihat di kementeriannya, di sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Malaysia, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Beliau berkata, masalah bantut tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja memberi cabaran kesihatan mental, fizikal mahupun pergaulan sosial malah lebih buruk boleh membawa maut.

"Ini merupakan masalah kekurangan zat makanan kronik, di mana kanak-kanak tidak mendapat makanan yang mencukupi dari segi kuantiti dan kualiti dalam suatu tempoh masa yang lama," katanya.

Akibatnya, Khairy berkata, golongan itu tidak dapat membesar dengan sempurna selain tidak mencapai ketinggian yang sepatutnya.

"Data tahun 2019 menunjukkan 21.8 peratus kanak-kanak di negara ini mengalami masalah bantut dan saya percaya peratusan ini meningkat pada masa ini," katanya.

Menurutnya, KKM menyasarkan masalah bantut dikurangkan sehingga lapan peratus menjelang tahun 2030.

Sementara itu, mengulas mengenai kanak-kanak di Putrajaya antara negeri yang tertinggi melaporkan kes bantut, Khairy berkata, jawatankuasa khas tersebut akan mengenalpasti puncanya.

"Ada sesuatu yang tidak betul kenapa Putrajaya dikenali antara yang mempunyai pendapatan tinggi di Malaysia tetapi berhadapan masalah bantut dan obesiti," katanya.

Ujarnya, KKM akan terus membuat pemantauan terhadap menu yang disajikan kepada kanak-kanak di taska.

"KKM sememangnya terlibat dalam penyediaan menu dan taska perlu mengikut menu yang ditetapkan," katanya.