'Kucupan tangan terakhir selepas solat Subuh jemaah'

Siti Nor Azuha bersama-sama empat anaknya melihat gambar arwah suaminya dan keluarga di rumahnya di Taman Sri Orkid, Senai, Johor Bahru pada Ahad.
Siti Nor Azuha bersama-sama empat anaknya melihat gambar arwah suaminya dan keluarga di rumahnya di Taman Sri Orkid, Senai, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Balu kepada pekerja yang maut terjatuh dari bumbung semasa melakukan kerja-kerja pembersihan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dekat sini tidak menyangka permintaan suami untuk solat Subuh berjemaah pada hari kejadian menjadi kenangan terakhirnya.

Dalam kejadian 13 Jun lalu, dua mangsa iaitu Zulhilmi Jufri Johari, 35, dan Syed Haidar Syed Salleh, 34, maut selepas terjatuh dari bumbung semasa melakukan kerja-kerja pembersihan di Stadium Sultan Ibrahim.

Siti Nor Azuha Abdullah, 35, berkata, arwah suami, Zulhilmi Jufri biasanya menunaikan solat Subuh berasingan dengannya.

"Namun pada hari kejadian, saya agak pelik dengan permintaannya seolah-olah satu 'tanda perpisahan' selepas lebih 10 tahun kami mendirikan rumah tangga.

"Selepas solat saya sempat mengucup tangannya. Tidak sangka itu merupakan pertemuan akhir sebelum arwah bertolak pergi kerja kira-kira jam 7 pagi.

"Kira-kira seminggu sebelum kejadian itu, arwah dilihat banyak termenung selain turut memberikan banyak pesanan terutama supaya menjaga anak-anak kami," katanya yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan.

Siti Nor Azuha berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah di rumahnya di Taman Sri Orkid, Skudai dekat sini pada Ahad.

Mohd Hairi menyampaikan sumbangan bahan makanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor kepada Siti Nor Azuha yang turut dihadiri Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang.

Siti Nur Azuha berkata, hatinya sayu apabila anak ketiganya sering bertanya bila arwah akan pulang ke rumah kerana masih tidak memahami perkara yang sudah berlaku.

Ibu kepada empat anak berusia satu hingga sembilan tahun itu merakamkan terima kasih kepada pihak Perkeso dan bersyukur kerana arwah suaminya yang baru dua tahun bekerja dengan syarikat terbabit sempat melakukan caruman.

Sementara itu, Mohd Hairi berkata, pihak Perkeso menyerahkan bayaran Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dan bantuan makanan kepada Siti Nor Azuha pada Ahad dan memaklumkan keluarga berkenaan akan menerima bayaran Fadeah Orang Tanggungan sebanyak RM3,030 bermula bulan depan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Hairi memberitahu, Perkeso Johor dan Institut Maklumat bersama Analisis Pesaran Buruh (Ilmia) sedang melakukan kajian sama ada pekerja Malaysia di Singapura perlu mencarum dengan Perkeso bagi mendapat perlindungan sekiranya berlaku kemalangan atau kecelakaan.

Beliau berkata, kajian itu sudah dilakukan awal tahun ini dan keputusannya dijangka pada hujung bulan ini sebelum diserahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk ditimbangkan kerana ketika ini tiada akta yang membolehkan mereka mencarum dengan Perkeso.

"Kita akan tengok respon daripada pekerja Malaysia di Singapura. Ini kerana mereka tidak mempunyai sebarang perlindungan jika berlaku kecelakaan atau kemalangan semasa pergi atau pulang dari bekerja," katanya.