Ahli Parlimen Wangsa Maju tawar 200 komputer riba percuma

Pejabat Parlimen Wangsa Maju menawarkan bantuan komputer riba percuma kepada pelajar kurang berkemampuan.
Pejabat Parlimen Wangsa Maju menawarkan bantuan komputer riba percuma kepada pelajar kurang berkemampuan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew menawarkan pemberian 200 komputer riba percuma kepada pelajar memerlukan.

Yee Kew berkata, tawaran itu dibuka kepada pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam serta penuntut kolej dan universiti dalam keluarga B40 berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000.

Menurutnya, peruntukan besar digunakan olehnya bagi program sumbangan komputer riba itu bagi memastikan tiada pelajar tercicir dalam pelajaran.

"Pemohon boleh dibuat di pautan https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSerkPf6X1tAVPj4u8olCFOGX1cU5G8Ie-S2pJ6nNy-PLRR34w/viewform sebelum 10 Julai 2022.

"Semua dokumen sokongan perlu dimuat naik di ruangan disediakan, permohonan yang tidak menepati syarat-syarat ditetapkan akan ditolak," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, tiada peralatan dan kemudahan akses internet menyebabkan ramai pelajar tercicir sewaktu pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian ketika pandemik Covid-19 lalu.

"Pelajar yang tidak mempunyai komputer telah tercicir satu tahun dalam pembelajaran.

"Tambahan pula, kenaikan harga barang yang kian meruncing turut memberi kesan kepada ibu bapa bagi persiapan membiayai kos membeli alat bantu belajar untuk anak-anak mereka.

"Keadaan ini akan menyebabkan anak-anak kurang berminat meneruskan pelajaran akibat kesusahan yang dialami keluarga," katanya.

Beliau berkata, negara belum bersedia mendepani perubahan teknologi apabila sehingga kini ramai pelajar daripada keluarga miskin masih tidak mempunyai komputer sendiri.

"Ketika kerajaan melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada tahun 1996, kita percaya negara sudah bersedia untuk transformasi ICT namun pelancaran Cyberjaya, tidak banyak memberi kesan kepada keseluruhan ekonomi negara.

"Selepas 25 tahun, kerajaan bercakap tentang e-ekonomi dan pendidikan digital, ironinya ramai pelajar miskin masih tidak mempunyai komputer sendiri, " katanya.