PPTP model baharu tingkat ekonomi sektor pertanian

Zuhairi (tiga dari kanan) menunjukkan perjanjian kerjasama strategik antara Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) dan NNTQ Agri Sdn. Bhd di Kuantan pada Khamis.
Zuhairi (tiga dari kanan) menunjukkan perjanjian kerjasama strategik antara Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) dan NNTQ Agri Sdn. Bhd di Kuantan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) menubuhkan anak syarikat NNTQ Agri Sdn Bhd (NNTQ Agri) bagi meningkatkan ekonomi dalam sektor pertanian melalui model baharu Program Pembangunan Tanah Pertanian (PPTP).

Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab Kadir berkata, model baharu PTTP itu membabitkan 500 individu yang mempunyai hak milik tanah dan dijadikan ladang menerusi perkongsian pengalaman dan kepakaran PPNP dan anak syarikatnya.

Menurutnya, langkah ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pendapatan kepada peserta terlibat seterusnya menambah hasil kepada kerajaan negeri.

"Kita (PPNP) juga akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan Pahang untuk memohon pertimbangan mendapatkan tanah kerajaan yang berpotensi diusahakan dalam sektor perladangan kelapa sawit.

"Usaha sama ini menumpukan pelaksanaan projek pertanian bernilai tinggi yang akan diusahakan NNTQ Agri dan menyasarkan kawasan sehingga 2.471 hektar (10,000 ekar)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Satu majlis memeterai perjanjian kerjasama strategik antara PPNP dan NNTQ Agri telah diadakan di pejabat PPNP.

Sektor pertanian dianggarkan berkembang sebanyak 3.8 peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan menyumbang tujuh peratus kepada keluaran negara dalam kasar (KDNK) pada tahun 2025.

Ia berikutan pertumbuhan sektor agromakanan yang dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan Pahang akan menumpukan kepada lima sektor termasuk sektor pertanian berteknologi tinggi dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Wan Rosdy berkata, tumpuan terhadap sektor pertanian tersebut dilihat bersesuaian kerana mengambil kira penglibatan penduduk di negeri ini khususnya di kawasan pedalaman dalam bidang pertanian.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, projek yang dipilih dan dirancang menerusi model baharu itu menggariskan bahawa peserta tidak perlu mengeluarkan apa-apa kos modal pembangunan projek atau menguruskan operasi.

"Ia akan dilaksanakan sepenuhnya NNTQ Agri dengan pemantauan PPNP sehingga hasil tanaman dikeluarkan bagi menyelesaikan isu masalah kewangan dan kemahiran pemilik tanah menguruskan sendiri kerja pertanian dan pemasaran," jelasnya.

Dalam usaha sama itu, beliau berkata, PPNP berperanan sebagai badan yang mengenal pasti lokasi dan kumpulan sasar untuk ditawarkan peluang projek itu dilaksanakan sebelum mencadangkan lokasi berkenaan kepada NNTQ Agri.

Sementara itu, Pengarah Urusan NNTQ Agri, Chai Ming Quah berkata, syarikat itu menghargai kerjasama PPNP dan bersedia menilai kesesuaian tapak dan mencadangkan jenis tanaman yang bersesuaian.

Beliau memberi jaminan kerjasama ini mampu memberi manfaat secara langsung kepada semua pihak yang terlibat.

Selain itu, Ming Quah memaklumkan PPTP telah membuka peluang baharu kepada komuniti setempat dan kerajaan tanpa mempunyai risiko kerugian untuk meneroka peluang pertanian yang berpotensi besar menerusi model peluang perniagaan yang dicadangkan.

"Kami akan menanggung kos modal pembangunan projek secara menyeluruh termasuk pembekalan keperluan projek hingga ke penjualan produk pertanian kepada pemain industri dan memberi dividen secara tahunan bagi projek kerajaan serta bulanan bagi projek individu menerusi PPNP," katanya.