MOTAC tidak terima laporan penipuan khidmat badal haji

Nancy - Foto Bernama
Nancy - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak menerima sebarang laporan berkaitan kes penipuan untuk khidmat mengerjakan badal haji melibatkan agensi pelancongan haji dan umrah setakat ini, kata Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Bagaimanapun, beliau berkata, MOTAC sentiasa memantau kesemua agensi pelancongan haji dan umrah yang berdaftar serta mengambil tindakan sewajarnya termasuk pembatalan lesen sekiranya didapati bersalah.

"Setakat ini tiada laporan (penipuan)... memang dulu kita selalu dengar (mengenai kes penipuan), namun kita akan terus pantau," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Badan Peneraju Industri Seni Budaya 2022 di sini pada Khamis.

Seramai 333 graduan seni budaya meliputi bidang tari, teater, muzik dan pengurusan pentas menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) daripada Nancy.

Nancy mengulas laporan media mengenai agensi pelancongan haji dan umrah yang dikesan menawarkan ratusan tempat untuk khidmat mengerjakan badal haji dengan pakej bayaran bermula serendah RM1,700 hingga RM3,000 seorang.

Tawaran yang menarik perhatian itu bagaimanapun disifatkan meragukan serta tidak sepadan dengan beberapa peraturan ditetapkan Kerajaan Arab Saudi ketika ini.

Badal haji bermaksud melaksanakan haji bagi orang lain yang telah meninggal dunia ataupun tidak sempat menunaikannya dan berkemampuan, malah dibolehkan juga mengerjakan badal haji untuk mereka yang tidak ada harapan untuk sembuh daripada penyakit.

Pengarah Operasi Bimbingan Lembaga Tabung Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah dilaporkan berkata, pihak yang berminat dengan badal haji disaran mengenal pasti identiti pelaksananya dan tidak hanya membayar tanpa usul periksa kerana terdapat syarat tertentu dan bukannya boleh dilakukan oleh sesiapa jua. - Bernama