20 motosikal pelanggan ditenggelami banjir kilat

Mohd Fadhlan menolak motosikal pelanggan yang di depan bengkel di Kampung Paya Rumput, Tangga Batu, di sini, pada Khamis.
Mohd Fadhlan menolak motosikal pelanggan yang di depan bengkel di Kampung Paya Rumput, Tangga Batu, di sini, pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan negeri ini pada Khamis menyebabkan seorang pemilik bengkel motosikal di Kampung Paya Rumput Tangga Batu, di sini, mengalami kerugian.

Mohd Fadhlan Jaafar, 36, berkata, sebanyak 20 buah motosikal pelanggannya rosak ditenggelami air gara-gara banjir.

Menurutnya, bencana kali keempat yang disifatkan paling teruk itu juga mengakibatkan bengkel kayu tersebut tenggelam setinggi kira-kira 0.8 meter sehingga turut merosakkan peralatan bengkel termasuk mesin kimpal yang baru dibelinya bulan lalu.

"Saya menyedari kejadian ini kira-kira jam 8 pagi tadi ketika hendak memulakan perniagaan.

"Semalam kawasan ini juga dinaiki air dan tali air di hadapan bengkel telah dibersihkan, namun pagi ini berlaku lagi," katanya yang mengusahkan perniagaan itu sejak dua tahun lalu.

Lebih mengecewakan, katanya, lima buah motosikal yang siap dibaik pulih akan diambil pelanggan pada hari ini, namun mengalami kerosakan semula akibat banjir.

"Nasib baik pelanggan memahami situasi ini namun saya terpaksa menanggung segala kos baik pulih motosikal yang rosak.

"Saya juga terkilan, mesin kimpal yang baru dibeli bulan lalu turut rosak dan terpaksa menabung semula untuk beli mesin lain," katanya.

Jelasnya, berharap pihak berwajib dapat turun padang meninjau punca kejadian ini agar ia tidak berulang sekali gus membebankan penduduk.

Tuminah
Tuminah

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi, berkata, saluran perparitan yang belum diselenggara dikenal pasti punca utama banjir kilat terutama di kawasan Paya Rumput, Kampung Paya Luboh dan Kampung Bukit Berlian.

Katanya, bagaimanapun situasi bertambah buruk apabila hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang laut.

Ujarnya, telah membuat permohonan peruntukan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sebanyak RM40 juta sebagai penyelesaian jangka panjang bagi pembinaan dua sistem saliran baharu.

"Permohonan itu bagi pembinaan di sempadan Paya Luboh ke Klebang dan antara Paya Luboh ke Kampung Bukit Berlian," katanya.