Koma 12 hari kerana babi

Keen Tong (kanan) dan Jawiyah (dua, kanan) hadir menyampaikan barangan sumbangan dan keperluan kepada Marina yang terlantar di Kampung Keda Semeliang, Kuala Nerang
A
A

KUALA NERANG - Seorang tukang cuci kini hanya mampu terlantar di atas katil selepas melanggar seekor babi hutan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di sini, hujung Januari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Marina Midon, 42, yang bekerja di sebuah sekolah menengah di Pekan Kuala Nerang gagal mengelak haiwan liar tersebut tiba-tiba melintas jalan di Kampung Padang Lanjut.

Suaminya, Ahmad Zaidi Muin, 42, berkata, kesan pelanggaran itu mengakibatkan kecederaan dalaman teruk sehingga doktor terpaksa melakukan pembedahan mengeluarkan limpa isterinya yang rosak.

"Selama 19 hari isteri saya terlantar di Hospital Sultanah Bahiyah dan dalam tempoh itu dia koma selama 12 hari sebelum sedar. Sekarang dia perlu mendapatkan rawatan susulan.

"Selepas dibenarkan pulang, isteri hanya terlantar di atas katil dan tak dapat uruskan diri sendiri. Mujur mentua saya dari Pahang datang membantu jaga isteri dan uruskan anak kami Mohd Alif yang berusia 8 tahun semasa saya keluar bekerja," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keda Semeliang di sini, baru-baru ini.

Ahmad Zaidi yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat swasta berkata, Marina kini bergantung sepenuhnya kepada susu khas yang berharga RM80 satu tin disalurkan melalui tekaknya yang ditebuk bagi menggantikan makanan.

Ahmad Zaidi Muin
Ahmad Zaidi Muin

"Saya tak ada pilihan lain dan perlu belanja untuk beli susu khas itu, tapi saya bersyukur musibah yang menimpa isteri dapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Bantuan dari JKM mungkin akan dapat dalam masa terdekat ini dan saya akui rasa sedikit lega. Isteri perlu dapat rawatan susulan di hospital pada waktu yang ditetapkan dan saya juga perlu sediakan sedikit perbelanjaan bagi tujuan itu," katanya.

Menurutnya, setiap kali Marina perlu membuat pemeriksaan dan mendapatkan rawatan di hospital, dia terpaksa membawa isterinya dengan kereta kerana tidak mampu membayar kos ambulans.

"Saya tahu isteri saya tak selesa, tapi saya tak ada pilihan lain kerana kos untuk mendapatkan ambulans agak mahal kerana mencecah sehingga RM300 setiap kali mahu dapatkan perkhidmatan itu," katanya.

Sementara itu, nasib Marina juga mendapat perhatian tokoh usahawan tempatan, Datuk Jawiyah Che Dan serta Ahli Majlis Daerah Padang Terap, Ong Keen Tong yang turun padang menyampaikan barang sumbangan dan keperluan kepada keluarga tersebut.

Jawiyah berkata, bantuan JKM itu dapat meringankan beban Ahmad Zaidi bagi membiayai perbelanjaan isterinya yang terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah.

Dalam pada itu, Timbalan Penyelaras DUN Kuala Nerang, Ahmad Fudzi Lebai Salleh berkata, beliau berharap ada pihak yang akan terus membantu keluarga tersebut dan ketika ini pihaknya sedang berusaha membaiki siling rumah Ahmad Zaidi bagi memberikan keselesaan kepada Marina.