Lambakan durian Johor dibuat tempoyak

Zahari menjawab soalan lisan ketika Sidang Pertama DUN Johor ke-15 di Kota Iskandar pada Rabu.
Zahari menjawab soalan lisan ketika Sidang Pertama DUN Johor ke-15 di Kota Iskandar pada Rabu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sebanyak dua tan metrik durian segar diproses menjadi pes isi durian dan tempoyak setiap hari bagi mengatasi isu lambakan buah itu yang sedang berlaku di negeri ini.

Exco Pertanian Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar, Datuk Zahari Sarip berkata, kerja memproses raja buah itu dilakukan di pemprosesan durian bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP) di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tangkak.

"Pusat pemprosesan ini telah berjaya meningkatkan nilai tambah serta menangani masalah lambakan durian yang berlaku di Tangkak, Muar dan Segamat.

"Antara kemudahan yang disediakan di pusat pemprosesan ini termasuklah mesin pengasingan isi durian, mesin vacum pack, blast freezer dan bilik sejuk yang boleh menyimpan 22 metrik tan isi durian beku dalam satu-satu masa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ketika Sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar di sini pada Rabu.

Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap berkata, sebanyak 121,898 metrik tan hasil buah durian dikeluarkan pada tahun lalu di mana daerah Tangkak merupakan pengeluar durian paling banyak di negeri ini.

Katanya, pengeluaran itu melibatkan seramai 31,255 pengusaha dengan kawasan penanaman durian seluas 19,171 hektar.

"Pengeluaran durian disasar akan meningkat kepada 141,862 metrik tan atau sebanyak 13.47 peratus pada tahun 2027.

"Bagi mencapai sasaran ini, Jabatan Pertanian melalui Bahagian Pembangunan Industri Tanaman yang berpusat di Ayer Hitam telah mengeluarkan 5,000 anak benih durian bernilai tinggi sejak tahun 2016.

"Jumlah pengeluaran ini telah dipertingkatkan kepada 20,000 anak pokok pada tahun 2019 di bawah inisiatif Sumber Rezeki Baharu," katanya.

Tambah Zahari, sebanyak RM6.34 juta diperuntukkan bagi pembangunan tanaman khusus untuk buah durian sejak tahun 2018 hingga kini.

"Pada tahun ini, insentif sebanyak RM2.17 juta bagi pembangunan industri tanaman durian kepada 233 pengusaha dengan sasaran keluasan seluas 504.9 hektar di seluruh negeri ini," katanya.