Pendidikan adil dan sama rata untuk semua murid

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SELEPAS sembilan tahun, barulah tersedar bahawa sistem ranking persekolahan tersasar daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mendasari pendidikan negara.

Tanpa kita sedari ada murid yang tidak berpeluang untuk mendapat pendidikan yang sama rata disebabkan oleh sistem ranking sekolah.

Kita masih lagi terbuai-buai dengan sistem gred yang diperkenalkan iaitu mana-mana sekolah yang mempunyai bilangan pelajar yang ramai mendapat keputusan peperiksaan yang bagus akan menyebabkan sekolah itu mendapat ranking terbaik.

Dengan status sekolah itu akan menyebabkan pelajar yang tidak berapa cemerlang dinafikan tempat untuk belajar di sekolah tersebut.

Bukankah sekolah merupakan tempat untuk semua orang menimba ilmu secara saksama ?

Sebagaimana yang dijelaskan oleh Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, penilaian prestasi sekolah seharusnya memberi ukuran yang menyeluruh.

Jelas beliau, ia haruslah merangkumi enam aspirasi murid-murid iaitu penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran berfikir dan kemahiran memimpin.

Akhbar ini sebenarnya telah menerima dua laporan daripada ibu bapa berhubung dua buah sekolah cemerlang yang terletak di Shah Alam dan Sungai Buloh.

Difahamkan sekolah terbabit enggan menerima murid-murid yang tidak cemerlang untuk memasuki sekolah terbabit.

Ibu bapa yang tinggal berhampiran dengan sekolah itu terpaksa menghantar anak mereka untuk belajar di tempat lain yang lebih jauh dan sesak.

Keadaan tersebut tidak sepatutnya berlaku. Kita boleh faham sekiranya sekolah ini adalah sebuah sekolah berasrama penuh atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang memerlukan keputusan yang bagus.

Tetapi jika sekolah tersebut hanyalah sebuah sekolah harian biasa maka tidak sepatutnya ia dijadikan sekolah kluster kecemerlangan yang terletak di kawasan yang penduduk yang padat.

Tindakan menolak kemasukan murid amatlah tidak wajar dilakukan dan bertentangan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Kita amat berharap agar kementerian melihat semula tentang peranan sekolah yang perlu menjadi tempat untuk semua murid mendapat pendidikan yang sama rata dan adil.