Kes tangkapan pil yaba berlaku setiap hari di Kelantan

Muhamad Zaki (kanan) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas menerusi Op Tapis Bersepadu diadakan bermula Khamis hingga Sabtu lalu.
Muhamad Zaki (kanan) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas menerusi Op Tapis Bersepadu diadakan bermula Khamis hingga Sabtu lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mendedahkan tangkapan melibatkan dadah jenis pil yaba berlaku setiap hari di negeri ini memandangkan dadah yang popular dalam kalangan rakyat Pantai Timur itu murah serta mudah diperoleh.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, terbaharu sebanyak 7,650 biji pil yaba berjaya dirampas dalam dua tangkapan berasingan menerusi Op Tapis Bersepadu yang diadakan bermula Khamis hingga Sabtu lalu.

"Selain itu operasi yang melibatkan seluruh daerah di Kelantan itu turut merampas ganja seberat 30.775 kilogram (kg) dan syabu 24 gram.

"Nilai rampasan pelbagai jenis dadah itu berjumlah RM153,900 dan ia boleh digunakan seramai 34,720 penagih," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan selepas merasmikan perhimpunan bulanan IPK Kelantan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, melalui Op Tapis Bersepadu itu seramai 138 penagih berjaya ditahan manakala dua daripada mereka adalah tokan dadah lelaki berusia 22 dan 26 tahun

yang ditahan di parkir Stadium Sultan Muhammad ke IV di sini pada Khamis.

Beliau berkata, hasil siasatan terhadap kenderaan yang dinaiki suspek telah menjumpai dua bungkusan guni keputihan di bahagian lantai tempat duduk penumpang belakang yang mengandungi 30 bungkusan warna keemasan berisi tumbuh-tumbuhan kering mampat disyaki dadah jenis ganja.

"Ganja seberat 30.775 kg itu bernilai RM75,000 dan tokan berusia 26 tahun itu didapati positif methamphetamine serta mempunyai dua rekod jenayah lampau. Pada Jumaat pula seorang lelaki tempatan, 40, dan wanita warga Indonesia, 38, ditahan dalam serbuan di Kuala Betis, Gua Musang.

"Serbuah ke atas sebuah bangsal itu menjumpai satu beg galas warna hitam mengandungi sebungkus kertas kekuningan yang isi di dalamnya ialah 4,450 biji pil yaba dan 24 gram syabu bernilai RM46,900," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki berkata, pada hari yang sama (Jumaat) seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Manal, Tanah Merah.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di dalam tanah bawah rumah tersebut menjumpai 3,200 biji pil yaba yang dibungkus dalam plastik berwarna biru.

Katanya, lelaki yang bekerja sebagai buruh tersebut didapati positif methamphetamine serta mempunyai satu rekod lampau.