Lapor jika temui amalan perubatan Islam dalam talian menyeleweng

Idris (kiri) meninjau Program Jualan Bergerak Bantu Rakyat Parlimen Bukit Gantang di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting, di sini pada Ahad.
Idris (kiri) meninjau Program Jualan Bergerak Bantu Rakyat Parlimen Bukit Gantang di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting, di sini pada Ahad.
A
A
A

TAIPING - Umat Islam di negara ini digesa mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa jika terdapat amalan perubatan Islam dalam talian yang menyeleweng.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, laporan boleh dikemukakan sama ada melalui pihak berkuasa agama negeri, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk diambil tindakan.

Menurutnya, jika perkara tidak dibendung, ia dibimbangi akan menular dan mendatangkan musibah.

"Dalam aspek penggunaan perubatan rukyah, kalau doa atau jampi yang menyalahi agama, laporkan kepada Jabatan Agama Negeri. Kita harap netizen jangan tunggu pejabat agama dan boleh laporkan terus.

"Perkara-perkara yang jelas menyalahi akidah dan syariat ini boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Jualan Bergerak Bantu Rakyat Parlimen Bukit Gantang di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor pada Sabtu yang mencadangkan agar Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam mengadakan satu mesyuarat bagi memperhalusi isu berhubung trend pengamal perubatan Islam secara dalam talian.

Menurut Wan Salim, cadangan itu dikemukakan supaya dapat ditetapkan hukum berkenaan perkara tersebut dan diselaraskan di seluruh negara agar tidak disalahgunakan sesetengah pihak.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih belum menghantar pasukan audit halal ke Australia bagi menyiasat semua loji sembelihan dan di Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia (SICHMA) yang membekalkan daging ke Malaysia.

Menurutnya, Jakim tidak akan berkompromi dalam soal halal melibatkan makanan dan minuman yang dibekalkan untuk keperluan domestik.

Jelasnya, bagaimanapun kes tersebut disifatkan sebagai terpencil dan tidak menjejaskan keperluan dalam negara kerana sumber daging turut diimport dari negara-negara lain.

Pada 13 Mei lalu, kelulusan penyembelihan yang diberikan kepada syarikat diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia, Thomas Foods International Lobethal digantung serta-merta sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.