Banjir sebagai tarikan pelancong, Young Syefura bidas Nazri

Young Syefura (kanan) dan Mohamed Nazri Aziz
Young Syefura (kanan) dan Mohamed Nazri Aziz
A
A
A

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman membidas cadangan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz agar hal berkaitan bencana banjir dijadikan tarikan pelancong.

Beliau turut mempersoal empati dan sensitiviti bekas Menteri Pelancongan itu ketika menyuarakan pendapat berkenaan untuk diambil kira oleh kerajaan.

“Mana hilangnya belas simpati kepada mangsa apabila kita seolah-olah meraikan kesusahan dan musibah yang ditimpa oleh mereka.

“Saya sokong idea dan pemikiran di luar kotak oleh mana-mana pihak yang boleh membantu pembangunan negara, tetapi idea sebegini pada hemat saya adalah idea seorang manusia yang jauh dari kehidupan masyarakat sebenar,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Nazri bahawa hal berkaitan dengan bencana banjir boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong melalui aktiviti 'volunteer tourism' (pelancongan kesukarelawan).

Menurut Syefura, kawasan DUN Ketari antara paling teruk terjejas akibat banjir pada 17 Disember tahun lalu.

Jelas beliau, DUN itu merangkumi kawasan peranginan Janda Baik dan beberapa kawasan tarikan pelancong di dalam daerah Bentong.

“Janda Baik adalah kawasan yang paling teruk terjejas. Ia juga kawasan pertama terjadinya bencana banjir pada hari itu sebelum bencana banjir merebak ke kawasan lain di Bentong.

"Sehingga kini, banyak tempat-tempat tarikan pelancong di Janda Baik khususnya masih tidak dibaik pulih. Apa lagi infrastruktur seperti jambatan dan jalan tidak dibaik pulih langsung oleh kerajaan negeri, kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan," ujarnya.

Beliau mengakui situasi pasca banjir terutamanya beberapa hari selepas bencana berlaku memerlukan ramai sukarelawan untuk membantu mangsa dalam kerja-kerja pembersihan.

Sehubangan itu, Young Syefura meminta mana-mana pihak untuk turun ke kawasan DUN Ketari bagi mendengar sendiri keluh kesah mangsa-mangsa banjir.

"Saya juga ingin menjemput mana-mana pihak untuk berdialog dengan semua mangsa banjir mengenai trauma yang mereka hadapi sebagai mangsa banjir.

"Mungkin dengan cara ini pemimpin yang tuli dan buta hati boleh lebih memahami perasaan rakyat yang masih terkapai-kapai mencari semula langkah untuk menyambung sisa hidup mereka setelah seluruh harta benda serta kehidupan hanyut dibawa arus banjir," katanya.