100 hari tadbir Johor, BN sudah laksana 41 inisiatif awal

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) sudah melaksanakan 41 inisiatif awal membantu dan menyelesaikan masalah rakyat dalam tempoh tidak sampai 100 hari pentadbirannya selepas menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pencapaian kerajaan negeri yang baharu antaranya melibatkan usaha menyelesaikan masalah rakyat, menerima kemasukan pelaburan dan pelbagai program bantuan.

"Antara yang dilaksanakan ialah mengurangkan kesesakan orang ramai di kaunter Jabatan Imigresen, melaksanakan inisiatif 'Johor Fast Lane' dan pelbagai program bantuan seperti pelaksanaan inisiatif Bantuan Kasih Bangsa Johor.

"Kerajaan negeri juga membawa kemasukan pelaburan bernilai RM1.38 bilion daripada GDS Holding Ltd, RM876 juta (Insulet Corporation) dan RM130 juta daripada (Paris Baguette Singapore)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Selamat Takim (BN-Sungai Balang) berkenaan pencapaian diraih kerajaan negeri dalam tempoh 100 hari pentadbiran, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini pada Ahad.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga mengecualikan bayaran tol dan caj jalan sempena pembukaan sempadan Johor-Singapura selain menyediakan perkhidmatan 'shuttle' bus di Jalan Tun Razak dan Jalan Jim Quee ke Drop Off Point di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Menurutnya, peruntukan RM2 juta juga disalurkan bagi pelaksanaan pembangunan Pusat Latihan Bola Jaring Negeri Johor; RM1.5 Juta untuk kerja-kerja membina dan menyiapkan Dataran Paloh, Kluang dan RM1.5 juta untuk kerja-kerja menaik taraf Extreme Park Kluang.

Ketika menjawab soalan tambahan, Onn Hafiz berkata, pihaknya menggariskan enam teras utama dalam memacu pembangunan Johor ke arah pemodenan holistik menjelang tahun 2030.

"Enam teras berkenaan adalah Tadbir Urus Kerajaan; Pembangunan Ekonomi; Jaringan Keselamatan Sosial; Kemudahan Dan Keperluan Asas; Keselamatan, Kebersihan Dan Alam Sekitar dan Orang Muda Johor," katanya.

Beliau berkata, satu mekanisme juga akan diwujudkan bagi memastikan kesemua enam teras tersebut dilaksanakan dengan sebaiknya bersesuaian dengan hala tuju pembangunan Johor yang fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut keadaan semasa.

"Di bawah kepimpinan saya, ahli-ahli Exco juga sedang dan akan terus merangka polisi terbaik untuk rakyat Johor selain turut mempengerusi dan mewujudkan makmal-makmal bagi setiap perkara dengan fokus berkepentingan rakyat," katanya.