Kerjasama strategik persekutuan, negeri perkukuh sekuriti makanan negara

A
A
A

Saarani (kiri) bersama Ronald (kanan) menurunkan tandatangan sempena lawatan tapak projek PTK Kuala Kangsar di sini pada Sabtu.
Saarani (kiri) bersama Ronald (kanan) menurunkan tandatangan sempena lawatan tapak projek PTK Kuala Kangsar di sini pada Sabtu.

KUALA KANGSAR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengembangkan penerokaan teknologi baharu bagi meningkatkan hasil pengeluaran pertanian dalam usaha memastikan rantaian bekalan makanan negara berada pada tahap optimum.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu antara lain merangkumi pembangunan model perniagaan pertanian berteknologi.

Menurutnya, meskipun pelaburan awal dalam penggunaan teknologi memerlukan kos agak tinggi, namun pendekatan itu adalah yang terbaik bagi impak jangka panjang kelangsungan bekalan makanan.

"Pengeluaran tempatan memang perlu ditingkatkan dengan penggunaan luas tanah yang ada, tetapi melalui penggunaan aplikasi teknologi terkini akan membantu menambahkan hasil.

"MOSTI tentunya memainkan peranan mereka dan MARDI boleh lakukan pelbagai kajian berkaitan teknologi.

"Saya yakin, sinergi kajian antara kedua-duanya bersama kementerian yang lain membawa negara kepada pertanian lebih moden dan pembangunan industri agro makanan ke tahap lebih tinggi," katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke projek pembangunan pemasaran agro makanan Kuala Kangsar di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Zainal Abidin Yang Razalli dan Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Ronald berkata, masih ada ruang yang luas untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan negara khususnya sayuran, buah-buahan dan padi menerusi penggunaan teknologi agar negara tidak terus bergantung kepada bekalan import.

Katanya, pengeluaran padi negara ketika ini telah mencapai 70 peratus dan hanya 30 peratus keperluan ditampung sumber import.

"Ini yang sedang kita lihat dan menjadi antara matlamat serta agenda besar di bawah kementerian dalam dasar agro makanan negara," katanya.

Dalam lawatan itu, Ronald turut memberitahu, kementerian melalui FAMA telah menaik taraf Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA di Manong, Kuala Kangsar sebagai model perniagaan dan pusat rujukan pemasaran hasil pertanian berteknologi.

Menurutnya, pembangunan pusat itu secara langsung memberi peluang dan

pendedahan kepada golongan belia mengenai teknologi terkini dalam sektor pertanian, sekali gus mengoptimumkan penggunaan tanah-tanah terbiar milik kerajaan.

"Pusat ini dimajukan di tanah rizab Jabatan Kerja Raya (JKR) berkeluasan satu hektar dengan mengaplikasikan konsep Internet of Things (IoT) iaitu menggunakan kaedah sistem fertigasi, hidroponik dan akuaponik dalam satu kawasan.

"Kaedah ini memberi pulangan sehingga RM90,000 pada satu tempoh dengan pengeluaran dua komoditi iaitu sayuran berdaun organik sebanyak 3.3 tan metrik tan dan 4,000 ikan tilapia," katanya.

Ronald dan Saarani melihat hasil tanaman secara akuaponik sempena lawatan kerja ke Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA Manong, Kuala Kangsar pada Sabtu.
Ronald dan Saarani melihat hasil tanaman secara akuaponik sempena lawatan kerja ke Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA Manong, Kuala Kangsar pada Sabtu.

Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA Manong dilengkapi pelbagai fasiliti di bawah satu bumbung iaitu pusat latihan, pusat jualan dan pemborongan, tapak pertanian, kafeteria dan medan penjaja, medan gerai buah-buahan segar dan pertanian pintar (akuaponik dan vertical farming) serta projek pertanian fertigasi.

Seramai 23 usahawan yang sebelum ini berniaga di tepi jalan dan rumah persendirian telah dikumpulkan di pusat berkenaan yang memberikan manfaat peningkatan pendapatan sebanyak 20 peratus.

Manfaat besar

Projek Pasar Tani Kekal (PTK) Kuala Kangsar yang dibina dengan kos hampir RM4 juta di sini bakal memberi manfaat besar kepada lebih 100 usahawan tempatan.

Pembinaan di atas tanah berkeluasan 0.8 hektar dan dijangka siap sepenuhnya April depan itu menyediakan 100 lot terbuka selain lapan unit lot runcit dan lapan lot medan selera.

Transformasi pasar awam sebagai One Stop Centre dengan pengurusan yang lebih sistematik itu mengguna pakai konsep operasi terbaharu yang menggabungkan teknologi tinggi melibatkan pemborongan, peruncitan dan e-dagang.

Ronald (kiri) dan Saarani (kanan) melepaskan anak ikan tilapia pada program berkenaan.
Ronald (kiri) dan Saarani (kanan) melepaskan anak ikan tilapia pada program berkenaan.

Saarani berkata, pelaksanaan projek itu adalah selari dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 dalam mengupayakan bidang pertanian.

Menurutnya, pengoperasian PTK itu nanti dapat meningkatkan jualan peserta sehingga 30 peratus berbanding jualan sedia ada.

"Pembangunan PTK Kuala Kangsar ini adalah secara kerjasama strategik kerajaan negeri yang membiayai RM1 juta dan peruntukan KerajaanPersekutuan sebanyak RM3 juta.

"Kerja-kerja projek ini telah mencapai 48 peratus dan apabila siap tahun depan, boleh digunakan untuk memindahkan peniaga-peniaga pasar basah agar mereka lebih selesa dalam menjalankan urus niaga," katanya.

Kuala Kangsar adalah lokasi projek PTK keempat di Perak selepas Manjung dan Lekir serta Kampung Gajah yang bakal beroperasi Julai ini.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, selain Kuala Kangsar, terdapat tiga lagi lokasi PTK yang masih dalam pembinaan iaitu di Felda Palong, Negeri Sembilan; Kuala Krai, Kelantan dan Seberang Jaya, Pulau Pinang menjadikan keseluruhan 40 pasar tani kekal setakat ini.

Katanya, menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui FAMA menyasarkan sekurang-kurangnya tiga PTK baharu diwujudkan melibatkan peruntukan RM12 juta setahun yang dibiayai bersama kerajaan negeri dan agensi lainnya.

"Nilai jualan PTK di seluruh negara setakat Mei telah mencatatkan RM85 juta. Dengan pembukaan semula ekonomi, kita menyasarkan nilai jualan ini meningkat kepada RM200 juta menjelang akhir tahun ini," katanya.