Rumah bakal diroboh, penduduk rayu campur tangan kerajaan Selangor

Azman (tengah) bersama penduduk Kampung Jaya Sepakat menyuarakan bantahan terhadap perobohan rumah mereka untuk tujuan laluan akses ke projek pembinaan RSKU.
Azman (tengah) bersama penduduk Kampung Jaya Sepakat menyuarakan bantahan terhadap perobohan rumah mereka untuk tujuan laluan akses ke projek pembinaan RSKU.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 30 keluarga yang tinggal atas 12 tanah lot di Kampung Jaya Sepakat, di sini berdepan tindakan perobohan rumah apabila tanah didiami didakwa bakal dijadikan laluan masuk ke tapak pembinaan projek perumahan Rumah Selangorku (RSKU).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Jaya Sepakat, Azman Hezri berkata, kerja perobohan tersebut hampir dijalankan pada tahun 2016, namun berjaya dihalang oleh penduduk dengan bantuan pihak tertentu.

Menurutnya, rentetan daripada peristiwa itu, pihaknya menghantar surat kepada beberapa pihak berwajib seperti Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Kuala Langat bagi mendapatkan hak milikan tanah tersebut.

Bagaimanapun Azman mendakwa, pihaknya dilabel sebagai penceroboh walaupun mereka merupakan peneroka yang berdaftar dengan pihak PTD Kuala Langat.

Azman
Azman

"Kami akur tanah ini milik kerajaan, tapi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pernah mengeluarkan kenyataan pada Mac untuk mengenal pasti penduduk yang tinggal di atas tanah kerajaan negeri dan menawarkan hak milikan kepada mereka.

"Jadi kami amat berbesar hati jika kerajaan Selangor buat seperti apa yang dikatakan.

"Tapi kami kesal kerana dimaklumkan tanah yang ingin diambil itu mahu digunakan sebagai laluan akses kepada projek pembinaan RSKU," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Tapak pembinaan RSKU di Kampung Jaya Sepakat.
Tapak pembinaan RSKU di Kampung Jaya Sepakat.

Dalam pada itu, Azman turut menyuarakan isu pampasan yang tidak setimpal diberikan oleh pihak pemaju sebanyak RM15,000 yang dikatakan tidak mencukupi untuk berpindah dari kawasan tersebut.

Namun disebabkan ada segelintir penduduk yang menerima pampasan tersebut dan berpindah keluar, beliau mencadangkan supaya pihak pemaju menggunakan kawasan berkenaan sebagai laluan ke tapak projek tanpa mengganggu penduduk lain di sini.

"Kalau mereka betul-betul jujur untuk merobohkan rumah-rumah bagi membuat laluan ke tapak projek, mereka harus menerima cadangan kami.

"Kami tidak mahu PTD Kuala Langat seolah-olah menggunakan isu RSKU sebagai alasan untuk merobohkan rumah, sedangkan kami mampu memberikan cadangan berkenaan yang menguntungkan kedua-dua pihak.

"Apa salahnya kalau kerajaan dapat campur tangan dalam isu ini yang mana kita nak situasi menang-menang," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Shamsudin Mohamad, 61, meluahkan rasa terkilan selepas mendapat tahu rumahnya antara yang bakal dirobohkan bagi pembinaan laluan ke tapak projek perumahan berkenaan.

Dia yang menghidap penyakit kanser paru-paru tahap empat merayu kepada kerajaan Selangor supaya tidak merobohkan rumahnya dan membantunya sebaik mungkin.

Shamsuddin
Shamsuddin

"Saya rasa terkilan kerana tiada yang membantu kami setelah memohon hak tanah sekian lama. Saya anak Selangor, tapi tiada tanah seinci pun.

"Saya harap rumah kami tidak dirobohkan dan minta jasa baik kerajaan Selangor untuk membantu sebaiknya," katanya yang tinggal bersama isteri dan seorang anak berumur 10 tahun.

Penduduk lain, Mohd Zamri Md Yusoff, 52, pula memohon agar pihak pemaju memberikan pampasan yang selayaknya jika mereka diarahkan berpindah dari kawasan tersebut.

Mohd Zamri
Mohd Zamri

"Kalau ada pampasan, takkanlah hanya RM15,000 walhal projeknya berjuta-juta ringgit.

"Wakil rakyat perlu bela rakyat, bukan bela pemaju," katanya yang tinggal di kampung itu pada penghujung tahun 1990-an.

Sementara itu, Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, pihak PTD Kuala Langat pernah menolak permohonan penduduk mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) di kawasan tersebut pada tahun 2011 kerana lokasinya terletak kira-kira 50 meter dari tebing rizab Sungai Klang.

Rodziah
Rodziah

Rodziah berkata, pihak tersebut turut menerima 21 permohonan pemberi milikan tanah bagi tujuan bangunan kediaman pada tahun 2013, namun ia ditolak kerana kawasan yang dimohon terlibat dengan perancangan pembesaran jalan.

Menjawab dakwaan penduduk berkenaan projek RSKU yang belum diluluskan oleh kerajaan Selangor, Rodziah berkata, cadangan pembangunan tersebut diluluskan berdasarkan kelulusan kebenaran merancang pelan konsep seperti pelan lulus MDKL/JPP/PS/112/2017 bertarikh 16 Julai 2021.

"Walaupun penduduk yang terlibat tiada kebenaran menduduki tanah tersebut, namun bagi memastikan kerja pelebaran jalan dapat dilaksanakan, pihak pemaju bersetuju untuk memberi bantuan ihsan perpindahan sebanyak RM15,000 bagi setiap 13 pemilik rumah dan RM2,000 bagi tiga orang penyewa di sini.

"Malah, kerajaan Selangor melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menawarkan RSKU kepada penduduk yang terlibat. Selain itu, LPHS turut menawarkan unit rumah untuk disewa melalui Skim Smart Sewa," katanya.