HFMD: 201 taska tutup di Perak

Mohd Akmal
Mohd Akmal
A
A
A

IPOH - Jumlah taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) di Perak ditutup akibat Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) terus meningkat kepada 201 buah bagi minggu Epidemiologi 23/2022 yang berakhir pada 11 Jun 2022.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, penutupan tersebut susulan peningkatan kes dalam minggu epidemiologi tersebut iaitu sebanyak 1,711 kes dicatatkan berbanding 511 kes pada minggu sebelumnya.

Menurutnya, daerah Kinta mencatat jumlah paling tinggi iaitu 489 kes diikuti Larut Matang dan Selama (LMS) sebanyak 224 kes serta Hilir Perak (217 kes).

"Penutupan taska dan tadika di bawah Akta Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Bilangan penutupan tadika yang tertinggi ialah di Manjung iaitu sebanyak 67 buah diikuti daerah Kinta sebanyak 54 buah," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Perak di Auditorium Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini pada Sabtu.

Mohd Akmal berkata, sebanyak 195 wabak HFMD dilaporkan di negeri Perak termasuk empat wabak bagi minggu epidemiologi 23/2022 dengan tiga daerah melaporkan wabak HFMD tertinggi secara kumulatif iaitu Kinta, LMS dan Manjung.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 9,743 kes HFMD secara keseluruhan dicatatkan pada tahun 2022 berbanding hanya 225 kes dalam tempah sama tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah paling tinggi dijangkiti penyakit tersebut iaitu 8,551 kes diikuti kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun sebanyak 1003 kes dan 189 kes bagi mereka yang berusia melebihi 12 tahun.

Pada Mei lalu, sebanyak 42 buah tadika ditutup di Perak pada minggu epidemiologi ke-19 susulan penularan HFMD.