RM2 juta bantu tubuh klinik guaman

Ismail Sabri (tiga dari kanan) pada gimik pelancaran Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang Universtiti Malaysia pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri (tiga dari kanan) pada gimik pelancaran Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang Universtiti Malaysia pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan dana bernilai RM2 juta bagi menyokong beberapa aspek penubuhan klinik bantuan guaman seperti dicadangkan Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan tersebut membabitkan dana bernilai RM1 juta bagi penubuhan Yayasan Tan Sri Ahmad Ibrahim sempena nama tokoh perundangan disegani dan diiktiraf di Malaysia serta antarabangsa.

Ismail Sabri berkata, sebanyak RM500,000 diperuntukkan sebagai dana permulaan Tabung Kebajikan Keluarga Malaysia yang akan membantu proses pembelajaran siswazah Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) daripada keluarga berpendapatan rendah (B4).

"Dana bernilai RM500,000 pula diperuntukkan bagi merealisasikan hasrat pembangunan semula 'ASEAN Legal Information Portal' yang kini dikenali dengan nama baharu 'ASEAN Law Guide'.

"Saya mendengar dan mengambil maklum hajat PARFUM untuk menubuhkan klinik bantuan guaman. Saya amat menyokong cadangan murni ini kerana ia senada dengan misi saya dan kerajaan untuk sentiasa membantu Keluarga Malaysia yang memerlukan bantuan guaman.

"Tahniah kepada PARFUM kerana prihatin dengan Keluarga Malaysia yang tidak berkemampuan untuk menanggung kos khidmat guaman," katanya ketika merasmikan Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang UM pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dan Presiden PARFUM, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam pada itu Ismail Sabri turut mengucapkan tahniah kepada PARFUM kerana menganjurkan program yang bukan hanya memberi manfaat kepada ahli dan bekas graduan tetapi mahasiswa di fakulti itu.

Perdana Menteri berkata, PARFUM merupakan wadah mahasiswa dan golongan yang bergiat secara profesional dalam dunia perundangan, sama ada dalam sektor awam atau swasta.

"Saya mendoakan Fakulti Undang-Undang UM akan terus maju dan berkembang pesat untuk membina tenaga pemikir serta pelaksana undang-undang negara untuk tempoh 50 tahun akan datang.

"Saya percaya dengan niat suci dan usaha gigih semua pihak serta sokongan alumni yang hebat di sini, maka Fakulti Undang-Undang ini akan turut melakar sejarah di persada dunia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!