PRU15: PFP sasar bertanding 10 kerusi di Perak, Pulau Pinang

Patrick (tengah) menunjukkan salah satu dokumen yang akan diserahkan kepada SPRM Pulau Pinang pada Jumaat.
Patrick (tengah) menunjukkan salah satu dokumen yang akan diserahkan kepada SPRM Pulau Pinang pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Penang Front Party (PFP) akan bertanding sekurang-kurangnya di 10 kawasan iaitu dua Kedah dan lapan di Pulau Pinang dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusinya, Datuk Patrick Ooi berkata, pihaknya turut menyasarkan dua kerusi Parlimen masing-masing di Kedah dan Pulau Pinang serta enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang.

"Kita akan bertanding di 10 kerusi di Kedah dan Pulau Pinang yang mana, di Kedah mungkin kita akan bertanding di Parlimen Alor Setar dan Kulim.

"Sementara di Pulau Pinang, kita mungkin akan bertanding di dua kerusi Parlimen dan enam kerusi DUN. Enam kerusi DUN itu semuanya di bahagian pulau," katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Patrick berkata, PFP berhasrat untuk menggantikan parti MCA bagi mengembalikan zaman kegemilangan Pulau Pinang, terutamanya ketika pentadbiran Tun Dr Lim Chong Eu.

Menurutnya, PFP sedang merancang untuk mengadakan perbincangan dengan wakil dari parti pembangkang atau parti kerajaan untuk menjalin kerjasama pada PRU-15.

"Kita lihat MCA sudah tidak relevan dalam kalangan rakyat yang mana, banyak masalah rakyat yang tidak dapat diselesaikan. Jika kita lihat, pemimpin mereka pun ada yang tidak tahu bertutur dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Bagaimana mereka mahu wakili rakyat

"Jika Barisan Nasional (BN) perlukan parti yang boleh diharap dan boleh membantu rakyat, PFPlah jawapannya. Kami sentiasa bekerja untuk rakyat," katanya.

Katanya lagi, DAP yang sudah 15 tahun memerintah Pulau Pinang dilihat tidak membuat pembaharuan kepada rakyat di negeri itu.

"PFP mempunyai 5,000 ahli di seluruh negara dan kami boleh berkhidmat untuk rakyat terutamanya di Pulau Pinang. Misi kami adalah untuk membuat pembaharuan di negeri ini," katanya.

"Kita nampak mereka (DAP) hanya tahu menggunakan slogan semata-mata, tiada apa-apa pembangunan yang mereka lakukan kepada rakyat,'' katanya.

Parti PFP ditubuhkan pada tahun 2014 bagi menentang DAP pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor dan PRU-14 merupakan penampilan sulung parti itu dalam pilihan raya umum.

Pada PRU-14, PFP bertanding di 12 kerusi DUN dan satu kerusi parlimen di Pulau Pinang pada PRU14, namun parti itu kalah di semua kerusi yang ditandingi.

Mengulas mengenai kedatangannya ke Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang, Patrick berkata, beliau membuat beberapa laporan kepada pihak berkuasa tersebut selain menyerahkan dokumen bagi menyiasat seorang ahli perniagaan yang menggunakan media sosial Facebook untuk memburuk-burukkan kerajaan.

Katanya, selain menggunakan Facebook, individu tersebut turut menggunakan sentimen kaum membangkitkan kemarahan orang ramai.

"Selain itu, individu itu juga mendakwa mendapat beberapa tender kerajaan bernilai tinggi," katanya.