Calon CBK masalah pendengaran dapat 12A

Tengku Abdul Aziz
Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Masalah pendengaran yang dihadapi sejak kecil bukan penghalang buat seorang calon berkeperluan khas (CBK) memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan pada Khamis.

Tengku Abdul Aziz Tengku Md Fauzi, 18, pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Dungun berjaya membuktikan kemampuan diri apabila mendapat keputusan 12 A (9A+, 3A) dalam semua mata pelajaran yang diambil termasuk fizik, kimia, biologi dan matematik tambahan.

Menurut Tengku Abdul Aziz, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kerana pandemik Covid-19 memberi kelebihan kepada individu mempunyai masalah pendengaran sepertinya kerana lebih mudah fokus ketika belajar.

"Bila pakai 'headphone' semasa PdPR, saya boleh mendengar dengan lebih jelas ketika cikgu mengajar berbanding secara bersemuka, saya perlu beri tumpuan yang lebih," katanya yang memakai alat bantu pendengaran sejak berusia lima tahun.

Anak bongsu dari sembilan beradik pasangan pesara guru dari Dungun itu sudah berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran dan mahu menyambung pengajian di luar negara bagi mencapai cita-cita menjadi seorang pensyarah dalam bidang fizik.

Muhammad Imran (kiri) bersama bapanya menunjukkan keputusan cemerlang iaitu 12A yang diperolehi dalam SPM 2021.
Muhammad Imran (kiri) bersama bapanya menunjukkan keputusan cemerlang iaitu 12A yang diperolehi dalam SPM 2021.

Seorang lagi pelajar cemerlang mendapat 12 A+, Muhammad Imran Mohd Ropidi, 18, dari SM Imtiaz Besut berkata, membuat persediaan awal bagi setiap mata pelajaran sebelum guru masuk mengajar di dalam kelas dan antara tips belajar yang selalu diamalkan.

"Saya juga selalu mengulangkaji pelajaran sudah diajar dan terus bertanya kepada guru di dalam kelas jika ada mana-mana topik yang tidak faham," katanya yang turut berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Menurut Muhammad Imran, sepanjang tempoh pandemik Covid-19, PdPR diakui memberi tekanan dan kebimbangan kepadanya namun berkat sokongan ibu bapa, guru serta rakan-rakan dia akhirnya berjaya mengharungi cabaran tersebut.

Anak bongsu empat beradik dari Puchong, Selangor itu berkata, dia mahu menyambung pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang sains sosial iaitu sosiologi antropologi.

Muhammad Imran merupakan salah seorang daripada tujuh pelajar cemerlang yang mendapat A+ dalam semua mata pelajaran melalui keputusan SPM 2021 di Terengganu.

Enam lagi pelajar cemerlang itu adalah Nurul Nadhirah Husna Shahmuzir dari Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin yang memperoleh 10A+; Nur Hazirah Khairul Anuar dan Wan Nurdini Wan Mohd Asri dari SM Sains Kuala Terengganu (9A+); Alya Sofea Shukor pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai (9A+); Khaleda Irdina Batrisyia Harun dan Muhammad Ikhwan Hafify Mohd Nazeri dari SM Sains Sultan Mahmud (9A+).