Anggap pandemik Covid-19, kekangan PdPR satu cabaran

Nur Arisha Amyrul Naim, Umar Abdul Majid
Nur Arisha Amyrul Naim, Umar Abdul Majid
A
A
A

KUANTAN - Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) bukan satu masalah bagi pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (Smart) di sini.

Nur Arisha Amyrul Naim, 18, yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran (8A+,1A) tidak menjadikan kekangan sepanjang PdPR ekoran Covid-19 sebagai satu halangan besar untuk belajar.

Menurutnya cabaran belajar secara dalam talian tetap ada namun dia tetap mencari jalan agar segala masalah yang timbul diatasi dan tidak menganggu sesi pembelajaran setiap hari.

"Cabaran tetap ada tetapi bukan satu isu besar kerana semangat untuk belajar bergantung kepada diri sendiri," katanya ketika di temui selepas hadir mengambil keputusannya di Smart di sini pada Khamis.

Anak kepada jurujual kereta dari Indera Mahkota 15 itu berkata, keputusan cemerlang yang diterimanya itu memang di luar jangkaan.

"Memang harapkan semua A tapi tidak sangka harapan itu menjadi kenyataan memandangkan semasa percubaan, keputusannya hanya 2A+, 4A, 1A- dan 1B," katanya.

Nur Arisha yang meminati bidang sains komputer dan bercita-cita bergelar jurutera perisian berhasrat untuk menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Seorang lagi pelajar cemerlang dari Smart, Umar Abdul Majid,18, berkata, dia amat berpuas hati dan bersyukur dengan keputusan SPM yang diterima.

Berbeza dengan Nur Arisha, Umar mengakui berdepan banyak cabaran sepanjang mengikuti PdPR.

"Kebetulan ketika pelaksanaan PdPR, rumah keluarga saya sedang diubah suai menyebabkan tiada ruang untuk belajar sehingga terpaksa menggunakan ruang dapur.

"Keadaan juga agak bising jadi saya hanya boleh belajar dan mengulang kaji pelajaran dengan lebih selesa hanya selepas jam 7 malam," kata anak seorang pengurus restoran ini.

Atas kesungguhan dan semangatnya untuk belajar, Umar tidak menjadikan permasalahan itu sebagai satu halangan sebaliknya dianggap sebagai satu cabaran.

Umar mengakui agak terkejut apabila namanya diumumkan sebagai antara pelajar terbaik dengan keputusan cemerlang semua A bagi setiap mata pelajaran (9A+, 2A).