Berapa kali hendak minta maaf?

Sorakan puluhan ribu penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil dikatakan menjadi punca Harimau Malaya hilang fokus, lalu tewas kepada Bahrain dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2023 pada Sabtu lalu.
Sorakan puluhan ribu penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil dikatakan menjadi punca Harimau Malaya hilang fokus, lalu tewas kepada Bahrain dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2023 pada Sabtu lalu.
A
A
A

MEMANG ramai marah apabila membaca kenyataan Pak Menteri Belia dan Sukan yang mengatakan sorakan puluhan ribu penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil menyebabkan Harimau Malaya hilang fokus, lalu tewas kepada Bahrain dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2023 pada Sabtu lalu.

Tidak tahan dengan kritikan pedas daripada orang ramai, beliau akhirnya meminta maaf berhubung perkara tersebut dan mengatakan bahawa kenyataannya sudah disalah erti.

Bagaimanapun, ini bukan kali pertama beliau melakukan kesilapan dan berulang kali memohon maaf.

Pada 17 September 2021, beliau terpaksa meminta maaf kepada pemilik dan pengendali gimnasium atas kesilapan makluman yang mengatakan bahawa gimnasium di negeri-negeri di bawah Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan untuk dibuka semula pada hari tersebut.

Pada 30 Ogos 2021, menteri berkenaan sekali lagi membuat permohonan maaf kerana mengatakan Perak FC yang berdepan risiko penyingkiran dari Liga Super, berpeluang kekal untuk musim depan jika jumlah pasukan bertanding ditambah kepada 16 berbanding 12 pasukan.

Namun, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menafikan bahawa pernah berbincang mengenai perkara itu dan menjelaskan format kenaikan dan penyingkiran Liga Malaysia kekal seperti sedia ada.

Isu tersebut boleh menyebabkan FAM digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya wujud campur tangan kerajaan dalam pentadbirannya.

Merak Jalanan hendak nasihatkan kepada Pak Menteri Belia dan Sukan supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sebarang kesalahan fakta boleh mengundang masalah kepada semua pihak, malah yang paling binasa ialah apabila hati rakyat tergores.

Kalau hati sudah tergores, memang terpaksalah minta maaf, tetapi berapa kali mahu minta maaf?