Eskalator Stesen Sri Rampai kini boleh digunakan

Perkembangan terkini eskalator Stesen Sri Rampai di Facebook DBKL pada Rabu.
Perkembangan terkini eskalator Stesen Sri Rampai di Facebook DBKL pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Eskalator berdekatan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai yang pernah tular didakwa tidak berfungsi sejak lima tahun lalu kini telah boleh digunakan.

Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kemas kini di Facebook rasminya berkongsi video berdurasi 12 saat memaparkan keadaan semasa tangga bergerak itu yang telah berfungsi.

Menurut kenyataan itu, DBKL telah selesai melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan eskalator tersebut.

"Hari ini (Rabu) eskalator tersebut telah mula beroperasi selepas mendapat verifikasi keselamatan," kata kenyataan pada Rabu.

November tahun lalu, masalah eskalator tersebut dibangkitkan seorang pengguna, MuzamilIdris di Twitter yang memaklumkan kemudahan tersebut tidak berfungsi selama lima tahun dan berkongsi keadaan eskalator tersebut pada 9 November 2016

"Dah lima tahun aku tunggu (tweet asal ini sebenarnya lima tahun lepas), sudah tiga kali tukar kerajaan, eskalator ini dari 2016 masih tak dapat alat ganti lagi? @MyRapidKL," menurut ciapan yang tular itu.

RapidKL kemudian membalas ciapan tersebut dengan menjelaskan bahawa eskalator itu bukan di bawah selenggaraan RapidKL dan menyarankan aduan dikemukakan kepada pihak DBKL.

Sumber DBKL kemudian mengesahkan kemudahan tersebut adalah di bawah selenggaraan DBKL dengan pembaikan dimulakan pada Disember 2021 dan dijangka siap pada Mac 2022.