Bahagia melankolia?

A
A
A

TANGGAL 20 Mac pada setiap tahun merupakan sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia.

Indeks Kebahagiaan Dunia (World Happiness Index - WHI) 2019 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan Malaysia berada di tangga ke-80 daripada 156 negara di dunia.

Kedudukan ini telah jatuh 45 tangga berbanding kedudukan ke-35 pada tahun 2018. Laporan 2019 juga menunjukkan Malaysia adalah antara empat negara yang mengalami kejatuhan paling teruk bersama dengan Venezuela, Ukraine dan India.

Mengapakah kedudukan Malaysia menurun berdasarkan Indeks Kebahagiaan Dunia 2019 yang baru diumumkan?

Pelbagai hipotesis seperti kesahihan maklumat yang dikemukakan, ralat atau kecenderungan yang dilakukan oleh penyelidik dan seumpamanya mungkin dibina berdasarkan kedudukan terbaharu ini.

Berkemungkinan juga ada yang beranggapan bahawa kedudukan negara berdasarkan WHI ini sememangnya menggambarkan kedudukan sebenar.

Bagi penulis, kesedaran dan perubahan perlu dihayati oleh setiap individu tentang realiti dan persekitaran yang berlaku di Malaysia pada masa kini.

Mengimbau kenangan lalu, mendepani realiti masa kini dan menetapkan jangkaan masa hadapan mampu memberi jawapan kepada kebenaran tentang kedudukan Malaysia seperti yang ditunjukkan oleh WHI tersebut.

Artikel Berkaitan:

Peralihan paradigma yang lebih sihat dan positif akan mampu menzahirkan erti kebahagiaan yang sebenarnya.

Untuk memahami situasi sebenar, sama ada kita benar-benar bahagia atau tidak, marilah kita menganalisis pelbagai fakta dan statistik berkaitan gaya hidup rakyat Malaysia.

Dapatan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (KKMK) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi tahun 2015 menyimpulkan bahawa prevalen kesihatan mental di Malaysia menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding prevalen tahun 1996.

Secara purata, satu daripada tiga orang di Malaysia mengalami gangguan kesihatan mental dalam pelbagai bentuk seperti kemurungan, kecelaruan personaliti dan sebagainya.

Kemurungan adalah penyakit psikologi yang melibatkan tekanan perasaan yang serius kepada individu baik lelaki atau wanita, kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas.

Berdasarkan fakta ini, mahu tidak mahu kita perlu mengakui bahawa masyarakat Malaysia sedang berhadapan dengan gejala stres akut.

Kajian stres dan psikologi sosial menunjukkan bahawa kemurungan yang berlarutan membawa implikasi buruk kepada kesihatan individu, hubungan kekeluargaan dan persekitaran sosial.

Gejala ini dibimbangi mengganggu gugat persediaan Malaysia menghadapi cabaran Industri 4.0 yang akan tiba tidak lama lagi.

Trend kerja terkini dan masa hadapan yang beralih kepada ekonomi perkhidmatan dan teknologi maklumat serta perkembangan drastik dalam penggunaan komputer dan pemprosesan data telah menyebabkan masa bekerja semakin panjang.

Kita bekerja 24/7. Pekerja kini boleh menyambung kerja di rumah bagi mana-mana tugas yang tidak sempat diselesaikan ketika di pejabat.

Menghubungi pekerja dan memberi arahan selepas waktu pejabat atau sewaktu pekerja bercuti adalah sesuatu yang biasa berlaku di kebanyakan negara termasuk Malaysia.

Bekerja secara 24/7 menimbulkan kebimbangan terhadap isu keseimbangan kerjaya dan kehidupan (work-life balance). Ia adalah istilah yang digunakan untuk menghuraikan keseimbangan keperluan masa untuk bekerja dan lain-lain aspek dalam kehidupan yang meliputi hal-ehwal peribadi, keluarga atau aktiviti santai/riadah. Bagi kebanyakan individu, pekerjaan merupakan keutamaan untuk kelangsungan hidup. Ibu bapa perlu terus bekerja keras mencari wang untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik.

Masa berkualiti bersama anak-anak pula semakin terhad. Kesibukan mencari nafkah untuk diri dan keluarga sehingga mengabaikan masa untuk kehidupan dan sosial sebenarnya boleh menggugat kesejahteraan mental.

Virus ketagihan gajet juga semakin berkembang pantas di seluruh negara termasuk Malaysia. Ia menyerang segenap ceruk rantau, tidak kira di kota mahupun desa, restoran, warung kopi, pusat membeli-belah, atau rumah ibadat.

Semua orang kini tidak bercakap sesama sendiri. Anak-anak yang baru meningkat remaja merupakan antara pengguna tegar gajet pintar.

Mereka sanggup berkurung di bilik masing-masing melayan pelbagai aplikasi media sosial. Segala perasaan mereka sama ada gembira, duka-lara dan sebagainya akan diketahui oleh besi keluli bergelar telefon pintar terlebih dahulu.

Pendek kata, besi keluli ini menjadi Best Friend Forever (BFF) mereka, tidur, makan, bermain sehinggalah bertindak sebagai kaunselor.

Kajian menunjukkan kebergantungan yang tinggi terhadap teknologi komunikasi dan multimedia boleh menyebabkan kemurungan, kelesuan, sukar bertutur dan masalah psikologi.

Laporan Kesihatan Mental Remaja 2017 di Malaysia juga menunjukkan peningkatan kepada isu kemurungan dan kebimbangan yang berpunca daripada stres.

Menghadam fakta dan statistik di atas mampu mengungkap makna di sebalik Indeks Kebahagiaan Dunia yang sebenarnya bagi Malaysia. Biarlah senyuman terukir di bibir sebagai tanda bahagia itu benar-benar menzahirkan erti kegembiraan dalaman yang sebenarnya.

Jangan jadikan indeks ‘bahagia’ nampak cantik di atas kertas, sedangkan hakikatnya ia adalah melankolia yang penuh kesedihan, kesepian dan kesunyian.

* Profesor Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia