Dua maut akibat denggi di Kelantan

Sebanyak dua kematian direkodkan akibat denggi sehingga minggu epidemik ke 23 (5 hingga 11 Jun) di Kelantan pada tahun ini.
Sebanyak dua kematian direkodkan akibat denggi sehingga minggu epidemik ke 23 (5 hingga 11 Jun) di Kelantan pada tahun ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak dua kematian direkodkan akibat denggi sehingga minggu epidemik ke 23 (5 hingga 11 Jun) di Kelantan pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, berbanding tahun lalu, tiada kematian direkodkan akibat denggi.

Beliau berkata, kumulatif kejadian kes denggi di Kelantan sehingga 11 Jun tahun ini mencatatkan 197 kes berbanding 101 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 96 kes atau 95.05 peratus.

"Pada tahun ini juga terdapat 10 episod wabak denggi dilaporkan di Kelantan berbanding lima episod wabak denggi bagi tempoh yang sama 2021.

"Pada masa ini terdapat lima wabak denggi aktif di seluruh negeri Kelantan iaitu di Badang, Kota dan Panji di Kota Bharu dan di Taman Sri Mahang serta Bukit China 2 di Ketereh," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dr Zaini berkata, daripada 94,867 premis dan rumah kediaman yang diperiksa sebanyak 2,967 premis dikesan mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.

Sehubungan itu, katanya JKNK telah mengeluarkan sebanyak 461 kompaun yang dicadang dengan nilai RM230,500 mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

"Jika rumah kediaman seseorang itu berada di kawasan wabak denggi dan hasil pemeriksaan menjumpai pembiakan nyamuk aedes maka kompaun (saman) maksimum sebanyak RM500 akan dikeluarkan tanpa sebarang rayuan pengurangan,” katanya.

Menurutnya dalam tempoh sama sebanyak 36 Notis Seksyen 8 telah dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi pembiakan aedes. - Bernama