KASA pergiat penguatkuasaan ceroboh rizab sungai

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

IPOH - Tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti menceroboh rizab sungai khususnya di kawasan berisiko akan terus dipergiatkan di seluruh negara oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA)

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, biarpun berdepan pelbagai cabaran, usaha itu perlu dilakukan dalam memastikan tebing sungai dilindungi bagi mengelak berlaku runtuhan, banjir dan sebagainya.

Jelas beliau, rizab sungai boleh dibangunkan dengan binaan sesuai seperti taman permainan dan dijadikan kawasan rekreasi untuk memastikan ia dapat dipelihara.

"Kita akui cabaran untuk memastikan rizab sungai dapat dipelihara dan ini sebahagian daripada tanggungjawab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Bila kita tengok berlaku runtuhan, banjir dan sebagainya, kadang-kadang kita terpaksa guna rizab sungai untuk melindungi supaya ia tidak lebih kritikal.

"Oleh kerana sebahagian rizab sungai berlaku pencerobohan, kita sukar nak ambil tindakan seperti berlaku di Taman Melawati. Apabila kita turun tengok, kita terpaksa guna jentera masuk dalam sungai sebab rizab sungai kadang-kadang dibuat rumah sampai ke tebing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah Ke-30 Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia di Hotel Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) KASA, Dr Ching Thoo a/l Kim dan Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh.

Tuan Ibrahim berkata, tindakan penguatkuasaan itu memerlukan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana pengawasan dibuat oleh kedua-dua pihak tersebut.

Menurutnya, pihak JPS juga sedang berusaha mewartakan rizab sungai, dataran banjir, tanah lembap (wetlands) dan kolam-kolam takungan sebagai kawasan tebatan banjir.

Sementara itu, mengenai persidangan tersebut, Tuan Ibrahim berkata, persidangan kali ini memberi fokus kepada hala tuju pengurusan banjir dan adaptasi perubahan iklim di Malaysia.

"Persidangan kali ini bertemakan Memperkasakan Perkhidmatan Kejuruteraan Dalam Pengurangan Risiko Bencana Berkaitan Air selari dengan Pelan Strategik JPS 2021 dan dihadiri hampir 400 warga JPS terdiri daripada pengurus kanan dan jurutera daerah di seluruh negara.

"Saya berharap agar persidangan ini dapat memberi nafas baharu kepada hala tuju JPS terutama dalam pengurusan banjir di Malaysia untuk mengurangkan implikasi risiko banjir terhadap kehidupan dan kehilangan harta," katanya.

Dalam ucapannya, Tuan Ibrahim memaklumkan banjir yang berlaku pada tahun lalu telah meragut banyak nyawa selain mengakibatkan kerugian sebanyak RM6.1 bilion melibatkan kemusnahan tempat tinggal, premis perniagaan, aset dan infrastruktur awam.