52 mangsa ribut ditempatkan di PPS

Amirudin (dua) dari kanan bersama ADUN Gombak Setia, Hilman Idham dan Exco Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud meninjau lokasi terjejas., hari ini.
Amirudin (dua) dari kanan bersama ADUN Gombak Setia, Hilman Idham dan Exco Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud meninjau lokasi terjejas., hari ini.
A
A
A

GOMBAK - Seramai 52 mangsa membabitkan 15 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Asli Batu 12 di sini susulan ribut dan pokok tumbang, semalam.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, daripada jumah itu, lapan mangsa dirawat di hospital dan seorang daripadanya dilaporkan kritikal.

"Kerajaan negeri mengarahkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), bomba, Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk malakukan kerja pembersihan di laluan terjejas pokok tumbang.

"Dalam masa sama saya minta Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (jika perlu) untuk menghantar jentera dan peralatan untuk bantuan," katanya selepas meninjau lokasi bencana di Batu 11, Batu 12 dan Batu 13, di sini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan menyemak bantuan lain yang boleh disalurkan termasuk baik pulih rumah.

"Kita akan ukur jenis kerosakan di tahap kecil sederhana atau kritikal. Jika kementerian ada peruntukan kita akan gunakan dan jika tidak mencukupi jumlahnya akan ditambah kerajaan negeri.

"Pejabat Daerah Gombak juga diarahkan mengumpul maklumat untuk sebarang tindakan selanjutnya," katanya.

Amirudin berkata, sebanyak lapan rumah musnah dalam kejadian itu dan dijangka proses pembaikan akan mengambil masa kerana perlu melengkapkan prosedur bancian terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Perlu lihat secara keseluruhan terlebih dahulu namun kerosakan kecil mungkin dapat disiapkan lebih awal. Secara keseluruhan kita telah buat yang terbaik dan menyediakan pelan sokongan.

"Kita tidak boleh mengelak bencana namun bantuan keselamatan telah bertindak pantas ke lokasi kejadian dan menyediakan keperluan asas kepada mangsa," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan wang tunai sebanyak RM500 dan bantuan makanan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Khidmat Gombak Setia kepada 15 keluarga.

Semalam, dalam kejadian jam 5 petang beberapa kawasan terjejas dengan bencana bagi ribut dan pokok tumbang.

Kejadian itu turut melibatkan lima rumah di Pondok Penyayang Raudah musnah dan penghuninya cedera kini dan dirawat di Hospital Selayang.

ARTIKEL BERKAITAN:

Hanya 5 saat, empat pokok tumbang

Bantuan segera disalurkan kepada mangsa

Pokok hempap pusat jagaan, enam cedera