Pindaan mansuh hukuman mati mandatori dibentang Oktober depan

Wan Junaidi (tengah) bersama Timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (kiri) dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Datuk Abd Shukor Mahmood pada sidang akhbar di pejabatnya pada Isnin.
Wan Junaidi (tengah) bersama Timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (kiri) dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Datuk Abd Shukor Mahmood pada sidang akhbar di pejabatnya pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bacaan pertama pindaan pemansuhan hukuman mati mandatori akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya menjangkakan awal tahun hadapan ia selesai sepenuhnya.

"Dewan Negara akan bincang pada Disember dan Insya-ALLAH, Januari 2023 kita sudah ada undang-undang yang dimansuhkan secara realiti," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, di sini pada Isnin.

Menurutnya, beliau yakin pembentangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak mempunyai halangan besar.

"Saya juga cukup yakin pihak Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) amat peka soalan ini dan saya yakin tiada masalah di mana-mana," katanya.

Beliau berkata, sebelum pindaan tersebut di bawa ke Dewan Rakyat, kerajaan akan melaksanakan pungutan suara bagi mendapatkan respons daripada orang ramai.

"Bagi respons sebanyak mungkin kerana kita mahu dengar input daripada rakyat," katanya.

Wan Junaidi berkata, sekiranya didapati terdapat tentangan hebat daripada pungutan suara tersebut, pindaan tersebut akan di rujuk kembali kepada jemaah menteri.

"Biar kabinet membuat keputusan," katanya.

Ujarnya, secara dasarnya telah bersetuju pemansuhan hukuman mati mandatori dan inisiatif ini telah dimulakan sejak tahun 2012.

"Kerajaan terlalu bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan digantikan dengan hukuman gantian tertakluk kuasa budi bicara mahkamah," katanya.

Jelasnya, dalam konteks tersebut wujud perbezaan antara hukuman mati mandatori dan hukuman tertakluk budi bicara mahkamah.

"Hukuman mati mandatori merujuk kepada peruntukan kesalahan jenayah yang mana tertuduh didapati bersalah akan dijatuhkan hukuman mati tanpa sebarang pengecualian.

"Dalam erti kata lain, hakim tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman mati contohnya Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Hukuman budi bicara mahkamah pula katanya membawa maksud mana-mana tertuduh yang disabitkan dengan kesalahan hakim mempunyai pilihan sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan atau sebatan mengikut budi bicara.

"Ia juga bergantung kepada jenis keseriusan suatu jenayah, trend hukuman, keadaan mangsa, kerjasama dan keinsafan pesalah dan faktor-faktor pengurangan hukuman lain," katanya.

Tambahnya, sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan oleh mahkamah, mangsa dan keluarga boleh mengemukakan 'victim impact statement' selaras dengan Seksyen 183A Kanun Prosedur Jenayah.

Wan Junaidi berkata, pemansuhan hukuman mati mandatori melibatkan 11 kesalahan iaitu sembilan di bawah Kanun Keseksaan dan dua Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

"Berdasarkan prinsip-prinsip tersebut, syor hukuman gantian terhadap 11 kesalahan ini tertakluk kepada kuasa budi bicara mahkamah," ujarnya.

Menurutnya, jawatankuasa khas mencadangkan tiga polisi penghukuman baharu iaitu bagi kesalahan menyebabkan kematian, hukuman mati atas budi bicara mahkamah dikekalkan.

"Bagi kesalahan yang lain tidak menyebabkan kematian, hukuman mati tidak harus dijatuhkan dan sekiranya hukuman mati tidak dijatuhkan, pesalah boleh dikenakan sebatan," katanya.