Bidang AI jadi tumpuan di Jom Masuk IPT 2022

Pelbagai inovasi yang dipamerkan turut menjadi tumpuan pada Majlis Penutupan Karnival Jom Masuk IPT 2022.
Pelbagai inovasi yang dipamerkan turut menjadi tumpuan pada Majlis Penutupan Karnival Jom Masuk IPT 2022.
A
A
A

BACHOK - Pencarian maklumat berkaitan pengajian bidang teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) antara yang paling mencuri tumpuan dalam kalangan lebih 6,000 pengunjung yang hadir ke Karnival Jom Masuk IPT 2022 yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok pada Ahad.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, salah satu cabang sains yang dapat menjadikan sesuatu benda mempunyai kepintaran seperti manusia tersebut menjadi tumpuan selari dengan perubahan corak pembelajaran dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, antara cabang penting dalam AI ialah pembelajaran mesin iaitu keupayaan mesin seperti komputer yang mampu ‘belajar’ untuk menjadi pintar.

“Berlaku perubahan dalam corak pembelajaran dan ekonomi kerana pandemik Covid-19, kebanyakan anak-anak muda kita memilih ke arah bidang teknologi maklumat AI.

“Jadi, permintaan terhadap kursus-kursus teknologi dan pengkomputeran khususnya AI ini dilihat meningkat bagi memenuhi keperluan semasa,” katanya selepas Majlis Penutupan Karnival Jom Masuk IPT 2022 di UMK Kampus Bachok, di sini, pada Ahad.

Karnival dirasmikan oleh Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Mohd Zabri Yosoff.

Orang ramai yang berkunjung ke Majlis Penutupan Karnival Jom Masuk IPT 2022 di UMK Kampus Bachok pada Ahad.
Orang ramai yang berkunjung ke Majlis Penutupan Karnival Jom Masuk IPT 2022 di UMK Kampus Bachok pada Ahad.

Mengulas lanjut, Nik Maheran berkata, ketika ini Jabatan Sains Data UMK mempunyai 50 penuntut dan dijangka meningkat kepada 100 penuntut pada pengambilan September ini susulan perubahan corak pembelajaran dan ekonomi akibat pandemik tersebut.

Katanya, UMK menyasarkan pengambilan 4,000 penuntut pada September ini melibatkan tawaran Program Asasi kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai peluang mereka mengikuti laluan artikulasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk pengajian di peringkat sarjana muda.

“Tahun lepas, UMK tawarkan lebih 100 Program Asasi Sains manakala tahun ini peluang itu dibuka untuk Sains Sosial.

“Pelajar bergraduan Asasi Sains atau Sains Sosial ini akan mengikuti kursus selama setahun dan selepas tamat, mereka boleh menyambung ke kursus profesional perakaunan dan logistik yang ditawarkan di UMK,” katanya.

Dalam pada itu, UMK turut memperhebat pengambilan menerusi laluan khas kepada komuniti Orang Asli, orang kurang upaya (OKU) dan atlet peringkat negeri serta ke atas untuk mengikuti pengajian Sarjana Muda dan ke atas di UMK.

“Setakat ini, UMK mempunyai lima penuntut Orang Asli yang mengikuti Kursus Pertanian di UMK cawangan Jeli dan enam atlet serta 10 pelajar OKU.

“UMK menawarkan 29 program pengajian pra siswazah dan 16 program pasca siswazah dengan 10 fakulti kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi dan diploma,” jelasnya.

Orang ramai yang berkunjung ke Majlis Penutupan Karnival Jom Masuk IPT 2022 di UMK Kampus Bachok pada Ahad.

Pelbagai inovasi yang dipamerkan turut menjadi tumpuan pada Majlis Penutupan Karnival Jom Masuk IPT 2022.