Reruai Karangkraf diserbu saat akhir

Al-Quran keluaran Karangkraf antara yang paling laris jualannya pada PBAKL kali ini.
Al-Quran keluaran Karangkraf antara yang paling laris jualannya pada PBAKL kali ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Reruai Grup Buku Karangkraf terus diserbu orang ramai pada hari terakhir penganjuran sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-39 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Tinjauan mendapati rata-rata pengunjung mengambil kesempatan untuk hadir bagi memperolehi diskaun bagi setiap pembelian buku, novel dan juga al-Quran keluaran Karangkraf.

Bagi Nor Azizah Azidin,35, berkata, dia memang sudah lama merancang untuk membeli novel terbaharu Karangkraf.

Namun kerana kekangan masa menjaga ayah yang keuzuran dia terpaksa memilih hari akhir bagi mengunjungi pesta buku kali ini

“Saya sememangnya dah rancang lama untuk ke pesta buku, biasanya kami akan keluar bersama adik-beradik yang lain,” katanya

Nor Azizah berkata, pada pesta buku kali ini dia telah membeli lebih 10 buah novel dari reruai Karangkraf.

Pelbagai buku kanak-kanak ditawarkan Karangkraf kali ini.
Pelbagai buku kanak-kanak ditawarkan Karangkraf kali ini.

Pekerja swasta Firdaus Addin, 34, berkata, tujuan utama ke reruai Karangkraf adalah untuk membeli buku untuk anak-anaknya.

Firdaus berkata, tiga anaknya Iman Haris,8, dan kembar Nur Iman Hasna dan Nur Iman Husna,5, amat berminat dengan buku.

“Anak saya yang sulong Iman sudah lancar membaca jadi dia amat seronok jika dibelikan buku cerita begitu juga yang kembar Hasna dan Husna yang sudah bersekolah tadika mereka amat minat dengan buku mewarna,” katanya.

Adik beradik kembar, Nur Iman Hasna dan Nur Iman Husna,5, tertarik memilik buku mewarna di reruai Karangkraf.
Adik beradik kembar, Nur Iman Hasna dan Nur Iman Husna,5, tertarik memilik buku mewarna di reruai Karangkraf.

Dalam pada itu, Siti Zuraidah Ismail,35, berkata dia yang memandu dari Kuantan datang ke (PBAKL) untuk mendapat al-Quran Haramain keluaran Karangkraf.

“Al-Quran Haramain ini siap dengan terjemahan jadi ianya sangat mudah untuk memahami isi kandungan ayat al-Quran yang kita baca,” katanya.

Tambahnya lagi, harga yang ditawarkan juga berpatutan ditambah dengan diskaun 10 hingga 20 peratus amat berbaloi untuk dimiliki.

Nur Atiahanis Ahmad,31, pula mahu mendapakan buku Iqra’ sambil mendapatkan autograf penulisnya, Ustaz Hisyamuddin Kamarudin yang turut hadir memeriahkan reruai Karangkraf semalam.

“Iqra' ini adalah buku teknik mudah untuk belajar baca al-Quran, semua peringkat umur senang untuk memahami teknik asas bacaan lebih kepada bentuk sebutan dan ejaan bunyi yang betul,” katanya.

Jualan meningkat 50 peratus

Kehadiran tiga figura, Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias; Ramlee Awang Murshid dan Ustaz Mustafar Mohd Suki bagi mempromosikan buku masing-masing antara faktor reruai Karangkraf terus mendapat perhatian pada hari akhir PBAKL pada Ahad.

Penolong Pengurus Besar Jualan Grup Buku Karangkraf, Roziana Omar berkata, peningkatan jualan buku juga meningkat sebanyak 50 peratus berbanding penganjuran PBAKL dua tahun sebelumnya.

“Jualan memang cukup luar biasa, kami sentiasa restock buku-buku dan al-Quran sepanjang PBAKL ini berlangsung, cuma pada hari terakhir ini konsep lebih kepada siapa cepat, dia dapat,” katanya.

Tambahnya lagi, novel seram karya Ramlee Awang Murshid antara laris terjual diikuti dengan dua komik Sekolah Banyak Penunggu dan Darlingku Minah Angau juga menunjukkan jualan yang amat memberangsangkan.

“Kepada yang terlepas untuk ke PBAKL masih boleh mendapatkan produk Karangkraf secara dalam talian menerusi www.karangkrafmall.com dan seperti biasa jika guna kad VIP Karangkraf boleh dapat harga diskaun,” katanya.

Rerua Karangkraf diserbu orang ramai.
Rerua Karangkraf diserbu orang ramai.