Menteri-menteri Pertahanan FPDA tegaskan komitmen untuk kerjasama

Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin Tun Hussein
A
A
A

SINGAPURA - Negara anggota Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) pada Sabtu menegaskan semula komitmen terhadap perjanjian itu, susulan memperingati ulang tahun ke-50 FPDA pada tahun lepas, menurut Kementerian Pertahanan (Mindef) Singapura.

Kementerian turut memaklumkan Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen menghoskan majis sarapan pagi hari ini (Sabtu) untuk Timbalan Perdana Menteri Australia dan Menteri Pertahanan Richard Marles, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pertahanan New Zealand Peeni Henare dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Singapura Kara Owen, di luar Dialog Shangri-La ke-19.

Pada majlis itu, Menteri dan Pesuruhjaya Tinggi dari negara anggota FPDA mengakui kemajuan ketara yang dicapai sejak penubuhan FPDA.

"Mereka membincangkan peranan penting FPDA dalam membina keyakinan dan mempromosikan perintah antarabangsa berasaskan peraturan," menurut Mindef.

Selain itu Menteri-menteri dan Pesuruhjaya Tinggi turut bertukar-tukar pandangan mengenai cara untuk memperdalam kerjasama sedia ada dalam domain pertahanan konvensional, bukan konvensional dan domain yang baru muncul seperti memerangi keganasan dan keselamatan maritim untuk memastikan FPDA kekal relevan dalam menangani cabaran keselamatan kontemporari.

Mereka turut mengakui bahawa latihan FPDA seperti Exercise Bersama Shield dan Exercise Bersama Lima telah meningkatkan kerjasama dalam kalangan tentera negara anggota, dan menyatakan sokongan untuk terus mendalami nilai profesional latihan FPDA.

"FPDA terus memainkan peranan yang berguna dalam menggalakkan kerjasama serantau, dan menyumbang secara konstruktif kepada keselamatan serantau melalui pengendalian latihan biasa, dialog dan platform untuk interaksi profesional,” menurut kementerian itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!