Kerajaan diminta selaras harga bahan

Suraya menyerahkan sumbangan kepada waris kontraktor yang meninggal dunia disaksikan Mohamed Fadzill selepas Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Kedah ke-45 Tahun 2022 pada Sabtu.
Suraya menyerahkan sumbangan kepada waris kontraktor yang meninggal dunia disaksikan Mohamed Fadzill selepas Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Kedah ke-45 Tahun 2022 pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR – Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) memohon kerajaan melaksanakan segera penyelarasan harga bahan binaan bagi membantu industri pembinaan.

Presidennya, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, ia berikutan harga semua bahan binaan dikhuatiri naik mendadak hingga membebankan kontraktor khususnya yang bersaiz kecil.

Beliau juga bimbang mengenai isu harga semua bahan binaan ketika ini yang didapati terus meningkat antara 20 hingga 30 peratus.

“Tidak perlu tunggu dua atau tiga tahun untuk penyelarasan harga bahan binaan ini. Kalau boleh kita harap boleh dilakukan setiap tahun," katanya kepada Sinar Harian selepas Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Kedah ke-45 Tahun 2022 pada Sabtu.

Beliau juga memberi contoh kenaikan mendadak harga besi antara 20 hingga 30 peratus yang boleh mengakibatkan kabel, wayar dan paip juga mahal.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga Kedah, Datuk Suraya Yaacob dan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Melayu Malaysia (PKMM) Kedah, Mohammad Fauzee Mohamad.

Susulan kenaikan harga bahan binaan katanya, kerajaan menyenaraikan kira-kira 10 item bahan binaan yang layak untuk pelaksanaan syarat Pengiraan Perubahan Harga (VOP).

Beliau memberitahu, pemakaian VOP sepatutnya tamat pada Disember tahun lepas bagaimanapun dicadang dilanjutkan hingga tamat sesuatu projek berkaitan.

Bagaimanapun katanya, kontraktor kecil tidak terlibat dalam projek kerajaan dan perlu menanggung kenaikan kos bahan binaan sendiri.

Menurutnya, keadaan ini dipercayai menyebabkan ramai kontraktor terpaksa gulung tikar.

“Sehingga kini, lebih 49,000 syarikat kontraktor ditutup. Jadi, kita masih menanti tindakan kerajaan untuk melakukan penyelarasan harga bahan binaan ini,” katanya.

Beliau turut berharap kerajaan memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) apabila melakukan penyelarasan harga bahan binaan disebabkan ada jabatan dikhuatiri tidak mengikut harga bahan diterima itu.

“Apabila kontraktor mempersoalkan tentang harga lama terbabit, pihak jabatan mendakwa mereka tidak tahu mengenai harga baharu,” katanya.

Beliau berkata, situasi berkenaan menyebabkan masalah kepada pihak berkaitan ketika proses cabut undi kerana kontraktor tidak melaksanakan projek pembangunan di kawasan berkaitan.