Jangan lanjutkan tempoh sah laku EIA: Penang Forum

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan digesa tidak melanjutkan tempoh sah laku laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (ElA) bagi komponen Projek Lebuhraya Pan Island Link (PIL 1) yang diperoleh pada tahun 2019 daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Gesaan itu dibuat badan bukan kerajaan (NGO), Penang Forum selepas tempoh sah laku EIA itu dilaporkan telah luput pada 10 April lalu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Penang Forum mendakwa mereka telah menghantar lebih 2,000 surat bantahan (ditandatangani lebih 2,000 individu membantah) melalui emel kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam surat bertarikh 20 September 2018.

Jelasnya, surat-surat itu diserahkan dengan tangan kepada bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yeo Bee Yin pada 21 September 2018 dalam acara 'Town Hall' di dewan Spice, Pulau Pinang, di depan lebih 800 hadirin.

Bagaimanapun, katanya surat-surat bantahan itu didakwa diabaikan oleh menteri terbabit dan juga Ketua Pengarah JAS.

"Penang Forum juga telah serahkan sebab-sebab bantahan melalui laporan 'Feedback on the EIA Report for the Proposed Pan-Island Link Phase 1 Project' setebal 38 muka surat yang disediakan oleh ahli-ahli Penang Forum termasuk mantan profesor, pakar sains, pakar sains sosial dan pakar alam sekitar.

"Laporan itu juga diemel dan dihantar kepada menteri dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar namun dukacitanya, Penang Forum tidak pernah mendapat maklumbalas terperinci ke atas laporan terbabit," katanya.

Penang Forum menjelaskan pihak itu menghantar surat mengenai bantahan berkenaan kepada Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar pada Jumaat.

Menurut surat berkenaan, lanjutan tempoh tamat EIA Pan Island Link akan meletakkan duluan yang buruk untuk masa depan dan boleh dilihat oleh orang awam sebagai satu penyalahgunaan kuasa yang akan mencemarkan nama baik Jabatan Alam Sekitar.

"Kami berharap JAS akan terus menegakkan piawaian alam sekitar yang tertinggi tanpa rasa takut atau pilih kasih demi rakyat dan generasi mendatang," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kerajaan Pulau Pinang telah memohon pelanjutan tempoh sah laku laporan ElA bagi komponen PIL 1 yang diperoleh pada tahun 2019 daripada JAS.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, selain itu, Laporan Kajian Impak Sosial (SIA) bagi projek itu juga sedang dilaksanakan oleh pihak perunding.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang meneruskan usaha untuk memohon peruntukan daripada kerajaan persekutuan supaya pelaksanaan Lebuhraya PIL 1 dapat dilaksanakan dengan kadar segera secara berfasa.

Katanya, kerajaan negeri sedia maklum bantahan yang dikemukakan oleh penduduk di kawasan kediaman Jesselton khususnya berkaitan pembinaan Lebuhraya PIL 1 di Persiaran Kuari.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk menerangkan kepentingan komponen PIL1 secara keseluruhan dan langkah-langkah mitigasi yang akan diambil semasa proses pembinaan kepada pihak yang berkepentingan terutamanya penduduk yang tinggal berhampiran dengan jajaran lebuh raya tersebut, katanya.