Anggota parti BJP masih tak serik

Srivastava dikatakan berkongsi kenyataan provokasi itu di media sosial. - Foto: Agensi
Srivastava dikatakan berkongsi kenyataan provokasi itu di media sosial. - Foto: Agensi
A
A
A

KANPUR - Parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas pemimpin sayap pemuda mereka ditahan dan dihumban ke penjara pada Selasa, gara-gara mengeluarkan kenyataan biadab menghina Nabi Muhammad SAW di media sosial.

Menurut pihak berkuasa di Uttar Pradesh, Harshit Srivastava diberkas di Kanpur susulan insiden ketegangan kaum di bandar tersebut pada minggu lalu yang tercetus ketika protes membantah kenyataan anti-Islam yang disuarakan jurucakap parti BJP, Nupur Sharma dan Ketua Unit Media di New Delhi, Naveen Kumar Jindal.

"Dia sengaja menyinggung perasaan Muslim dengan perkongsian tweet tersebut dan cuba memburukkan lagi keadaan," kata jurucakap polis, Prashant Kumar sambil menjelaskan lebih 50 individu lain yang terlibat insiden keganasan di Kanpur turut ditahan setakat ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis, Vijay Singh Meena menegaskan individu yang terbabit menggunakan sentimen agama tidak akan terlepas dalam apa jua keadaan memandangkan isu tersebut sedang hangat diperkatakan dunia Islam.

"Kami akan bertindak mengikut dasar toleransi sifar. Sejak Jumaat lalu, kira-kira 23 pengguna media sosial yang berkongsi kenyataan berunsur anti-Islam telah dikenal pasti," katanya.

Ketika ini, kawalan keselamatan telah dipertingkatkan setelah kumpulan al-Qaeda di India (AQIS) mengeluarkan amaran untuk melancarkan serangan bom bunuh diri di Gujarat, Uttar Pradesh, Bombay dan New Delhi susulan kenyataan provokatif tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Jindal yang disingkirkan daripada BJP mendakwa dia bersama keluarganya telah menerima ancaman bunuh di media sosial, manakala Menteri Dalam Negeri, Dilip Walse Patil memaklumkan kes siasatan telah dibuka ke atas Sharma yang menyatakan dia menghormati segala keputusan parti setelah keanggotaan wanita tersebut kini digantung. - Agensi